BALING, 17 Mac (Bernama) -- Seramai 414 ketua isi rumah (KIR) yang terkesan akibat bencana banjir yang melanda beberapa kawasan di daerah ini bermula 30 Sept hingga 18 Okt tahun lepas, menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000 setiap keluarga, hari ini.
Pengarah Pejabat Pembangunan Persekutuan Kedah Zepri Saad berkata kesemua KIR berkenaan berdaftar atau berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) sewaktu rumah mereka dilanda bencana tersebut.
“Bencana banjir yang berlaku ketika itu melibatkan tujuh mukim iaitu Mukim Bakai, Mukim Teloi Kanan, Mukim Siong, Mukim Baling/Bongor, Mukim Pulai, Mukim Tawar dan Mukim Kupang.
“Bantuan ini diluluskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA). Sumbangan ini merupakan tanda keprihatinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memastikan rakyat yang terkesan dengan musibah banjir mendapat bantuan sewajarnya,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan bantuan berkenaan di Dewan Kenangan Tun Abdul Razak dekat sini, hari ini.
Zepri berkata bantuan itu juga diharap akan dapat membantu meringankan beban mangsa banjir ketika Ramadan dan menjelang Aidilfitri tidak lama lagi.
Sementara itu, mangsa banjir dari Kampung Batu 18, Bongor Halimah Abu Bakar, 69, berkata wang bantuan itu akan digunakannya untuk membeli barangan keperluan semasa Ramadan dan menyediakan persiapan untuk menyambut hari raya.
“Saya dan suami tidak lagi mampu bekerja dalam usia macam ni, lagi pun kami berdua sudah tidak sihat dan saya sendiri ada masalah jantung.
“Rumah pula kerap dilanda banjir, tahun lepas enam kali rumah saya ditenggelami banjir. Rosak semua peralatan dan perabot, saya cuma mengharapkan anak-anak dan jiran yang datang membantu bersihkan rumah,” katanya.
Seorang lagi penerima Nur Hidayah Abd Latif, 37, dari Kampung Bongor berkata wang bantuan itu akan digunakannya untuk membuat persiapan Aidilfitri.
“Sewaktu banjir, kami tidak sempat menyelamatkan barang penting di dalam rumah sebab air naik melimpah sewaktu kami nyenyak tidur sekitar pukul 12 tengah malam. Kami hanya sempat selamatkan diri dan anggota keluarga yang ada.
“Duit bantuan yang dapat hari ini boleh kami beli barang keperluan untuk sambut raya, yang lain seperti perabot dan sebagainya kami tak beli baru, guna apa yang ada saja,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial