AM > BERITA

Suri Rumah Enam Anak Bersyukur Impian Miliki Rumah Sendiri Sejak 28 Tahun Tercapai 

17/03/2025 06:25 PM

MELAKA, 17 Mac (Bernama) -- Seorang suri rumah bersyukur apabila impiannya untuk memiliki rumah sendiri sejak 28 tahun lepas tercapai setelah permohonan Rumah Mesra Rakyat (RMR) di bawah Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) diluluskan.

Intan Rohayu Yusof, 46, dari Simpang Ampat, Alor Gajah, berkata berita gembira itu diterimanya pada minggu lepas ketika sedang dirawat di Hospital Melaka kerana baru selesai menjalani pembedahan pada 12 Mac.

“Sejak 28 tahun lepas saya tinggal bersama emak di rumahnya di Simpang Ampat kerana tidak mampu untuk membeli rumah sendiri. RMR yang dimohon pun akan dibina berhampiran rumah emak iaitu di tanah miliknya di Kampung Kemus Dalam.

"Saya mohon RMR pada September 2023 dan dalam tempoh itu, saya kerap menghubungi pihak SPNB untuk mengetahui status permohonan...Alhamdulillah akhirnya permohonan tersebut diluluskan," kata ibu kepada enam anak berusia lapan hingga 26 tahun itu.

Intan Rohayu berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Taklimat dan Penyerahan Surat Tawaran RMR 2025 Sesi Kedua bagi Negeri Melaka yang disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abd Halem dan turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif SPNB Mohd Jamil Idris.

Intan Rohayu antara 106 pemohon RMR yang mendapat surat tawaran kediaman tersebut yang setiap satu akan dibina dengan kos RM75,000 namun pemohon hanya perlu membayar semula RM55,000 secara ansuran setiap bulan.

Sementara itu, S. Emanuel Raj, 27, dari Kampung Paya Buluh, Merlimau berkata dia memohon RMR bagi memberi keselesaan kepada ibunya, R.Upagaram,61, kerana rumah keluarga yang diduduki ketika ini sudah berusia lebih 30 tahun dan uzur.

"Rumah ini saya mohon memang untuk emak kerana dia sukar bergerak dan di rumah sekarang dia terpaksa turun naik tangga. Saya sangat gembira kerana permohonan berjaya...dapat beri keselesaan kepada emak selain seorang abang yang merupakan orang kurang upaya.

"Saya mohon pada 2023, agak cepat juga tempoh menunggu kerana saya dimaklumkan orang yang memohon berpuluh ribu dan saya antara yang bertuah," katanya menambah kediaman itu akan dibina di tanah milik ibunya berhampiran rumah sedia ada.

Emanuel berkata program RMR yang dilaksanakan kerajaan amat bermanfaat untuk membantu golongan kurang berkemampuan memiliki rumah sendiri memandangkan harga rumah ketika ini terlalu mahal buat dirinya yang bekerja sendiri dan tidak mempunyai pendapatan tetap.

Sehingga kini, SPNB telah membina 3,626 RMR di Melaka bagi membantu rakyat negeri ini memiliki rumah sendiri.

-- BERNAMA

    

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan