AM > BERITA

KBGK Anjur Majlis Makan Malam Amal Nusantara Bersama M.Nasir

17/03/2025 09:55 PM

IPOH, 17 Mac (Bernama) -- Maestro muzik Datuk M. Nasir bakal membuat persembahan pada Majlis Makan Malam Amal Nusantara di Pusat Konvensyen Ipoh, 3 Mei depan. 

Presiden Kelab Bakti Gunung Keledang (KBGK) Muhammad Hamzah Md Hamdan berkata majlis anjuran kelab itu bertujuan mengumpul dana untuk Yayasan Bakti Gunung Keledang. 

Beliau berkata majlis makan malam yang turut mendapat kerjasama Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) itu turut menampilkan beberapa artis tempatan lain.

"Fokus utama kami untuk mengumpul RM800,000 bagi melaksanakan program dan aktiviti kebajikan termasuk bantuan kepada yang memerlukan yang telah dirancang sepanjang tahun ini. 

"Dana yang dikumpulkan daripada penganjuran majlis ini juga akan kami gunakan antaranya membantu individu dan badan-badan kebajikan rumah anak yatim, rumah orang tua dan lain-lain lagi untuk mereka menjalankan kerja amal mereka," katanya dalam sidang media di sini hari ini. 

Turut hadir Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin. 

Muhammad Hamzah berkata pihaknya menzahirkan penghargaan kepada sektor korporat, industri, syarikat milik kerajaan termasuk individu yang menyokong pengumpulan dana itu dengan bertindak sebagai penaja. 

"Kita menyediakan 140 meja tajaan berharga RM10,000, RM5,000 dan RM3,000 dan kesemua tajaan ini akan mendapat pengecualian cukai. 

"KBGK juga akan memilih 10 badan amal terpilih sebagai penerima sumbangan pada malam majlis makan kelak dan kita juga akan jadikan majlis makan malam amal ini sebagai aktiviti tahunan," katanya. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan