AM > BERITA

UMK Lancar Pelan Strategik Kekal Relevan Sebagai Universiti Keusahawanan

17/03/2025 10:22 PM

BACHOK, 17 Mac (Bernama) -- Universiti Malaysia Kelantan (UMK) bakal melancarkan Pelan Strategik UMK 2025-2030 (UMK30) yang berteraskan inovasi, keusahawanan dan pengantarabangsaan bagi memastikan institusi itu kekal relevan dengan keperluan semasa.

Naib Canselor UMK Profesor Dr Arham Abdullah berkata UMK30 bukan sekadar usaha memperkukuh kecemerlangan akademik, tetapi juga satu gerakan transformasi bagi melahirkan graduan dan warga kampus berdaya saing, berfikiran kritis serta memiliki kemahiran relevan dalam menghadapi cabaran global.

“Lebih penting lagi, inisiatif ini bertujuan memastikan UMK bukan sahaja menjadi peneraju dalam dunia akademik, tetapi juga pemacu kemajuan negara, menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat dan menjulang nama bangsa di persada antarabangsa.

“Bagi merealisasikan visi ini, kita akan menggerakkan 14 langkah strategik awal yang bukan sekadar pelan tindakan, tetapi satu komitmen yang dilaksanakan melalui pasukan tugas khas yang bertanggungjawab menyelaras dan memantau pelaksanaan semua program di bawah UMK30,” katanya ketika menyampaikan Perutusan Naib Canselor UMK 2025 di Dewan Tuanku Canselor UMK di sini hari ini.

Pada majlis sama, UMK turut melantik lima individu berprofil tinggi sebagai Penasihat Terkemuka Industri dan Keusahawanan bagi memperkukuh ekosistem keusahawanan di universiti berkenaan.

Arham berkata semua pelan yang dirangka akan diperhalusi secara berterusan sehingga sasaran UMK dicapai menjelang 2030.

Selain itu, bagi memastikan UMK bersedia menghadapi era digital, seluruh kampus akan dilengkapi dengan akses WiFi dan liputan selular 100 peratus tahun ini menerusi dana Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Kewangan sebanyak RM14 juta.

“Saya optimis kita mampu mencapai sasaran ini. Dalam masa sama, kita akan menilai kembali sistem digital secara menyeluruh, khususnya berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran,” katanya.

Beliau turut memaklumkan kemasukan pelajar antarabangsa ke UMK menunjukkan peningkatan memberangsangkan dengan jumlah terkini 400 orang, berbanding hanya 71 pelajar pada 2019, dan menyasarkan 1,000 pelajar antarabangsa tahun ini.

“Berdasarkan perkembangan semasa, UMK optimis akan terus berkembang dan menjadi universiti keusahawanan bertaraf antarabangsa,” jelasnya.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan