AM > BERITA

5,500 Bakul Makanan Diagih Di Parlimen Sungai Buloh, Bantu B40 Dan Asnaf - Ramanan 

18/03/2025 06:13 PM

SUNGAI BULOH, 18 Mac (Bernama) -- Sebanyak 5,500 bakul makanan berisi barang keperluan asas diagihkan kepada keluarga asnaf dan B40 Parlimen Sungai Buloh bagi membantu meringankan beban mereka sempena Ramadan dan Aidilfitri ini.  

Ahli Parlimen Sungai Buloh Datuk Seri R. Ramanan berkata program sumbangan bakul makanan itu diadakan setiap tahun dengan diagihkan kepada semua parti komponen Kerajaan Perpaduan serta badan bukan kerajaan (NGO). 

"Inilah semangat perpaduan politik di Parlimen Sungai Buloh. Kami bersama dan bersatu membantu satu sama lain bagi memastikan harapan komuniti setempat khususnya golongan B40 sentiasa dijaga melalui pelbagai inisiatif dan program," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan 1,500 bakul makanan kepada ketua-ketua cawangan UMNO Parlimen Sungai Buloh di sini hari ini. 

Bakul makanan di bawah inisiatif Program Salam Aidilfitri Kasih MADANI itu merupakan sumbangan daripada Yayasan Bank Rakyat dengan kerjasama Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Buloh.

Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Sungai Buloh Datuk Megat Firdaus berkata pada awalnya Ramanan menyediakan peruntukan asal 1,000 bakul makanan untuk ketua-ketua cawangan UMNO namun disebabkan keperluan yang tinggi, ia telah ditambah kepada 1,500.  

“Sebanyak 104 ketua cawangan akan diberi kuasa untuk mengenal pasti kira-kira 15 penduduk, ahli dan masyarakat B40 dan asnaf di cawangan masing-masing untuk diberikan bantuan bakul makanan berisi barangan keperluan asas.

“Tak semestinya mereka ahli UMNO, kalau mereka ibu tunggal, golongan fakir kita akan beri bakul makanan ini,” katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan