AM > BERITA

Perak Terus Laksana Solat Hajat Keselamatan Rakyat Palestin

19/03/2025 04:01 PM

IPOH, 19 Mac (Bernama) -- Semua masjid di seluruh Perak akan terus melaksanakan solat sunat hajat bagi mendoakan kesejahteraan serta keselamatan rakyat Palestin, kata Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad.

Beliau berkata ia boleh dilaksanakan selepas solat Jumaat atau tarawih dan perkara yang baik ini sebenarnya tidak perlu menunggu arahan atau saranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk melaksanakannya.

"Saya juga pernah beberapa kali solat Jumaat atau tarawih ada dianjurkan (solat hajat) atau imam membaca doa Qunut Nazilah dan dalam doa itu kita juga memohon Allah melindungi rakyat Gaza dan beberapa tempat lain," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan juadah hari raya sumbangan kerajaan negeri kepada pasukan beruniform di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Sebanyak 10,500 bungkusan berisi rendang tok, nasi himpit, kuah kacang, sambal ikan bilis goreng serta serunding disediakan lebih 200 petugas antaranya kakitangan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Badan Amal dan Usaha Isteri Negeri Perak (Baiduri), Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) dan Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA).

Juadah raya ini diagihkan antaranya kepada anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, 69 Komando Pasukan Gerakan Khas, Akademi Tentera Udara Perak, Pasukan Polis Marin Kampung Acheh Sitiawan, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Jabatan Kesihatan Negeri Perak, Pasukan Gerakan Am, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak dan Markas 2 Briged.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar hari ini memaklumkan masjid dan surau di bawah seliaan JAKIM dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) diarahkan melaksanakan solat hajat hingga akhir Ramadan sebagai tanda solidariti dan doa buat rakyat Palestin.

Beliau berkata serangan udara terbaru Israel di Gaza yang mengorbankan lebih 400 nyawa termasuk wanita dan kanak-kanak manakala 562 lagi cedera ternyata mengingkari perjanjian gencatan senjata dan dikutuk sekeras-kerasnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan