AM > BERITA

Rancang Perjalanan Melalui Aplikasi MyPLUS-TTA

19/03/2025 04:28 PM

PETALING JAYA, 19 Mac (Bernama) -- Orang ramai disaran merancang perjalanan lebih awal menggunakan aplikasi digital MyPLUS-TTA bagi memastikan kelancaran pergerakan di lebuh raya sempena musim perayaan Aidilfitri.

Ketua Pegawai Operasi PLUS Malaysia Berhad (PLUS) Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata pihaknya menyediakan jadual perjalanan digital melalui aplikasi itu bagi memudahkan pengguna lebuh raya merancang perjalanan dengan lebih efisien.

“Pengguna boleh mendapatkan jadual perjalanan digital MyPLUS-TTA dengan memuat turun dan mengakses Aplikasi PLUS untuk memilih waktu perjalanan paling optimum di Lebuhraya PLUS dan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) bagi perjalanan antara 27 Mac hingga 7 April.

“Aplikasi ini diharap dapat membantu pengagihan trafik dan mengelakkan penumpuan kenderaan di satu lokasi pada waktu sama, sekali gus meningkatkan kelancaran trafik,” katanya pada sesi taklimat Persediaan PLUS Hadapi Pertambahan Trafik Sempena Hari Raya Aidilfitri di Persada PLUS di sini hari ini.

Bagi menggalakkan orang ramai mematuhi cadangan MyPLUS-TTA, beliau berkata kempen ‘Ikuti MyPLUS-TTA Sempena Raya Aidilfitri’ bermula hari ini hingga 6 April dilancarkan menerusi pelbagai platform media sosial termasuk Facebook, Instagram, X@plus2u, TikTok, YouTube, dan LinkedIn.

Zakaria berkata pengguna Lebuhraya PLUS yang mendaftar dan mematuhi MyPLUS-TTA berpeluang memenangi hadiah keseluruhan sehingga RM20,000 termasuk baucar hotel bernilai RM2,500 untuk enam pemenang utama dan kredit Touch 'n Go eWallet RM100 kepada 50 pemenang sagu hati.

“PLUS menyeru orang ramai merancang dan menyusun jadual perjalanan berdasarkan MyPLUS-TTA dicadangkan melalui Aplikasi PLUS bagi memastikan perjalanan lebih lancar dan selesa,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan