KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- Festival Riuh Raya Kita 2025 yang mengetengahkan produk dan rekaan tempatan di bawah satu bumbung sempena Aidilfitri di Plaza Raintree, Tun Razak Exchange (TRX), di sini, bermula hari ini dan dijangka mampu menjana hasil jualan keseluruhan melebihi RM1.3 juta.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata ia berdasarkan sasaran 60,000 pengunjung yang dijangka hadir memeriahkan festival lima hari itu anjuran MyCreative Ventures dengan sokongan Kementerian Komunikasi.
“Seramai 75 peniaga pakaian dan aksesori kelengkapan raya serta 20 peniaga makanan dan minuman menyertai Riuh Raya Kita pada kali ini.
“Waktu operasi akan bermula pada pukul 3 petang hingga 2 pagi. Orang ramai digalakkan menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini selepas meninjau program berkenaan.
Selain menyediakan ruang untuk usahawan dan komuniti kreatif tempatan berniaga, festival berkenaan turut menampilkan 23 persembahan pentas dan sembilan bengkel kreatif termasuk kaligrafi khat, anyaman ketupat, kompang tradisional dan sampul raya DIY.
Festival itu hari ini turut menyaksikan empat artis veteran wanita negara menerima sumbangan di bawah Program Budi Seni.
Sumbangan berkenaan diserahkan oleh Teo kepada penyanyi veteran Shima dan Zaiton Sameon serta pelakon veteran Margaret Gan dan Maimunah Ahmad atau lebih dikenali sebagai Mak Jah.
“Sumbangan ini diberikan kepada artis veteran wanita bersempena Hari Wanita, Tahun ini, seramai empat artis wanita veteran menerima sumbangan wang tunai RM2,000 serta baucar membeli-belah di Riuh Raya Kita sebanyak RM1,500 setiap seorang,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial