AM > BERITA

Wan Shaiful Rizal Teruskan Amalan Hasilkan Bintang Raya Gergasi Menjelang Aidilfitri

20/03/2025 11:54 AM

GEORGE TOWN, 20 Mac (Bernama) -- Minat mendalam terhadap seni pembuatan mendorong Wan Shaiful Rizal Wan Sulong, 43, meneruskan amalan menghasilkan dekorasi berbentuk ‘bintang raya’, yang merupakan aktiviti beliau setiap tahun menjelang tiba sambutan Hari Raya.

Pekerja swasta itu berkata beliau memilih menghasilkan bintang raya gergasi kerana ia mendapat sambutan selain lebih mudah berbanding saiz kecil yang agak renyah.

Wan Shaiful Rizal berkata setakat ini beliau telah menerima tujuh tempahan bintang raya gergasi pelbagai saiz, termasuk daripada Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh yang merupakan pelanggan tetapnya sejak beberapa tahun lepas.

“Saya mula buat bintang raya (bersaiz besar) sejak kira-kira lapan tahun lepas, sebelum ini tolong kawan sahaja. Selepas itu dia tinggalkan, tak buat lagi, tapi saya masih teruskan. Saya tengok ada sambutan, jadi saya teruskanlah amalan, jadi pekerjaan sampingan.

“Dulu ada juga buat yang bersaiz kecil, tapi permintaan kurang, pembuatannya pun lebih renyah dan orang pun ramai tempah yang besar, jadi saya buat yang besarlah,” katanya kepada Bernama.

Wan Shaiful Rizal berkata beliau sememangnya meminati seni tersebut sejak dari kecil lagi dan proses membuat bintang raya itu pada pandangannya tidak terlalu susah, namun ia memerlukan kreativiti, fokus serta kesabaran yang tinggi.

Anak jati Kampung Melayu itu berkata terdapat tiga saiz bintang raya yang dihasilkan iaitu lapan, 10 dan 12 kaki, di samping mempunyai tujuh atau 10 bucu mengikut permintaan pelanggan, manakala harganya pula antara RM700 hingga RM1,200 mengikut saiz.

Beliau berkata setiap satu bintang itu mengambil masa tiga ke empat hari untuk disiapkan dan bahan yang digunakan terdiri daripada kayu jenis plywood, skru, plastik dan lampu tiub LED.

“Proses awal adalah kita siapkan rangka dahulu dan warna plastik untuk bintang itu adalah mengikut kehendak pelanggan. Akhir sekali baru kita pasangkan lampu berkelip-kelip di sekeliling bucu bintang itu, kita gunakan lampu tiub LED,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan