AM > BERITA

Melaka Rasmi Jadi Tuan Rumah Tahun Melawat Malaysia 2026

20/03/2025 10:14 PM

MELAKA, 20 Mac (Bernama) -- Kerajaan bersetuju menjadikan Melaka sebagai tuan rumah bagi pelancaran sambutan Tahun Melawat Malaysia (TMM2026), umum Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Seri Tiong King Sing. 

Beliau berkata ini termasuk kelulusan peruntukan bagi sambutan itu kerana persediaannya akan dilakukan oleh kerajaan negeri sendiri. 

"Kita sudah setuju, begitu juga Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan pelancarannya akan kita lakukan semasa Hari Pelancongan Sedunia 2025 yang dijadualkan pada September ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Libat Urus Bersama Penggiat Industri Pelancongan Melaka 2025 di Bukit Cina hari ini yang dirasmikan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.  

Hadir sama Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Manoharan Periasamy, Exco Pelancongan, Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman serta lebih 1,000 penggiat pelancongan di Melaka. 

Tiong berkata justeru itu, beliau mahu semua pihak terutama penggiat industri pelancongan bekerjasama mempromosikan TMM2026 di pelbagai platform termasuk media sosial. 

"Ini penting kerana kita mahu ekonomi berasaskan pelancongan ini berkembang pesat dan semua pihak terutama rakyat mendapat manfaatnya," kata beliau. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan