KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) -- Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) mengeluarkan faedah sebanyak RM5.82 bilion kepada 871,949 penerima pada tahun lepas, kata Menteri Sumber Manusia Steven Sim.
Sim berkata jumlah pembayaran faedah itu lebih tinggi berbanding RM5.48 bilion yang dibayar kepada 920,368 penerima pada 2023 dan RM4.92 bilion kepada 866,666 penerima bagi tahun sebelumnya.
"Bagi 2024, pembayaran faedah pencen penakat adalah yang tertinggi dengan pembayaran berjumlah RM2.412 bilion, diikuti pencen ilat (RM1.195 bilion) dan faedah hilang upaya kekal melebihi RM627 juta.
"Penguatkuasaan siling gaji baharu bagi maksud caruman daripada RM5,000 ke RM6,000 bermula 1 Okt lepas telah menyaksikan pembayaran faedah yang lebih baik dan meluas kepada pencarum," katanya dalam kenyataan media sempena Majlis Iftar Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) PERKESO di sini hari ini.
Majlis turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Setiausaha Dasar dan Antarabangsa KESUMA Dr Mohd Shaharin Umar, Pengerusi Lembaga PERKESO Datuk Seri Subahan Kamal dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.
Sementara itu, Sim berkata jumlah kes kemalangan ditakrifkan sebagai bukan bencana pekerjaan yang direkodkan pada Januari tahun ini agak membimbangkan, iaitu sebanyak 177 kes yang menyebabkan tiada perlindungan terhadap pekerja terlibat.
Beliau berkata Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4), hanya menyediakan perlindungan kepada pekerja jika kemalangan disahkan sebagai bencana kerja atau penyakit khidmat.
“Angka itu sebenarnya membimbangkan. Data tahun lepas menunjukkan sebanyak 80,166 kes kemalangan dilaporkan kepada PERKESO, purata 6,680 kes sebulan atau 219 kes sehari.
"Kita perlu ingat bahawa 177 kes itu, melibatkan pekerja yang juga suami, isteri, ibu, bapa dan anak di luar sana yang tidak mendapat perlindungan kerana kesnya tidak ditarifkan sebagai bencana kerja. Sebab itu saya hendak laksanakan Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK) supaya adanya perlindungan 24 jam," katanya.
Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan faedah kepada sembilan penerima, selain bantuan Aidilfitri berupa sumbangan wang tunai dan hamper kepada lebih 120 penerima yang terdiri anak yatim, balu dan penjaga, selain melancarkan iklan raya PERKESO bertajuk 'Demi Kasih'.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial