KUALA LUMPUR, 21 Mac (Bernama) -- Universiti Malaya (UM) merancang untuk menubuhkan program asasi di Universiti Peking serta membuka kampus cawangan di China, sebagai langkah memperkukuh kedudukannya di peringkat antarabangsa, khususnya dalam ekosistem akademik republik itu.
Naib Canselor UM Prof Datuk Seri Ir Dr Noor Azuan Abu Osman berkata perbincangan mengenai inisiatif itu diadakan semasa lawatan kerja beliau ke China baru-baru ini, yang turut melibatkan rundingan kerjasama strategik dengan institusi pendidikan terkemuka dan pemimpin kerajaan negara itu, termasuk Timbalan Menteri Pendidikan China Wu Yan.
“Inisiatif ini bakal mencetus lonjakan besar dalam memperkukuh reputasi UM sebagai peneraju pendidikan tinggi global, selain memperluas kehadirannya dalam ekosistem akademik elit China,” kata Noor Azuan dalam kenyataan yang keluarkan Pusat Komunikasi Korporat UM.
Menurut kenyataan itu, lawatan Noor Azuan ke China bertujuan memperkukuh hubungan dua hala dalam bidang pendidikan tinggi, pertukaran ilmu, penyelidikan bersama serta penerokaan teknologi masa depan yang memberi manfaat bersama kepada kedua-dua negara.
Kenyataan itu memaklumkan antara hasil utama lawatan itu ialah pertemuan dengan Presiden Universiti Peking Prof Gong Qihuang, yang membuka peluang penubuhan Program Asasi UM di institusi pendidikan tersohor itu.
“Selain memperluas jaringan akademik, UM juga meneroka kemungkinan membuka kampus cawangan di wilayah Shandong atau Hubei susulan perbincangan dengan Naib Gabenor Wilayah Shandong Zhang Haibo dan Naib Gabenor Wilayah Hubei Shao Xinyu.
“Penubuhan kampus cawangan UM ini bukan sekadar melebarkan sayap akademik, tetapi berfungsi sebagai penghubung dalam menghubungkan budaya dan pertalian sesama insan, memupuk inovasi dan mencipta peluang sepanjang hayat bagi pelajar serta penyelidik,” kata Noor Azuan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial