AM > BERITA

IJN Sumbang RM4.5 Juta Kepada Yayasan IJN 

21/03/2025 07:07 PM

KUALA LUMPUR, 21 Mac -- Institut Jantung Negara (IJN) meningkatkan sumbangannya kepada Yayasan IJN (IJNF) daripada RM3.5 juta kepada RM4.5 juta tahun ini sekali gus mengukuhkan lagi komitmen untuk memastikan masalah kewangan tidak penghalang pesakit menerima rawatan jantung.

Pengerusi IJN Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata peningkatan jumlah sumbangan itu lambang keazaman IJN yang tidak berbelah bahagi untuk memperluas akses rawatan jantung terhadap mereka yang mengalami masalah kewangan.

“Yuran perkhidmatan kami tidak disemak sejak 20 tahun yang lepas. Ini bermakna jika anda menjalani prosedur di IJN, bayaran yang dikenakan masih berdasarkan kadar 20 tahun yang lepas. 

“Komitmen itu bertujuan membantu lebih ramai pesakit, membiayai prosedur penting, dan meringankan beban keluarga yang berdepan krisis perubatan,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan cek khas di sini.

Cek berkenaan disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IJN Prof Datuk Seri Dr Mohamed Ezani Md Taib kepada Pengerusi Yayasan IJN Toh Puan Dr Aishah Ong.

Dr Noor Hisham berkata peningkatan sumbangan pada tahun ini mencerminkan harapan IJN berharap untuk membantu lebih ramai pesakit dan meringankan beban mereka yang memerlukan.

Sementara itu, Dr Aishah berkata setakat ini jumlah sumbangan IJN kepada IJNF mencecah RM67.2 juta, satu sumbangan yang sungguh bermakna dan memberi kesan besar dalam membantu mengubah kehidupan ribuan pesakit.

“Sepanjang tiga dekad lepas, IJNF menyalurkan RM88.7 juta untuk membantu pesakit, membolehkan hampir 7,000 individu daripada komuniti kurang berkemampuan menjalani pembedahan jantung dan rawatan kritikal oleh pasukan perubatan pakar.

“Bantuan itu bukan hanya merangkumi pembedahan, tetapi juga penjagaan selepas pembedahan serta pemulihan, memberikan pesakit peluang terbaik untuk pulih sepenuhnya serta menikmati kualiti hidup lebih baik,” katanya.

Pada 2024 sahaja, yayasan membelanjakan RM8.4 juta di bawah Program Bantuan Pesakit yang   meliputi kos pembedahan dan rawatan bagi 938 pesakit.

“Daripada jumlah itu, 398 terdiri pesakit dewasa manakala 540 pesakit kanak-kanak. IJN kekal sebagai rakan korporat yang penting dalam inisiatif murni ini, membuktikan komitmen padu terhadap kesejahteraan masyarakat,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan