KUALA LUMPUR, 21 Mac (Bernama) -- Malaysia mencatatkan tahap kebahagiaan yang lebih tinggi berbanding tahap purata kebahagiaan global malah mengatasi beberapa negara maju di Asia, demikian menurut Indeks Kebahagiaan Ipsos 2025.
Tinjauan syarikat penyelidikan pasaran itu mendapati 77 peratus rakyat Malaysia berada dalam keadaan gembira dan melepasi tahap purata global sebanyak 71 peratus sekali gus menunjukkan bahawa rata-rata rakyat negara ini mempunyai 'pandangan yang positif terhadap kehidupan.'
Menurut Ipsos, negara membangun di rantau ini seperti India, Indonesia serta Thailand turut mencatatkan tahap kebahagiaan lebih tinggi berbanding negara lebih maju seperti Korea Selatan dan Jepun.
“Rakyat Malaysia menganggap penghargaan dan keluarga sebagai sumber utama kebahagiaan, sama seperti pandangan purata global. Ini membuktikan kasih sayang dan penghargaan adalah nilai sejagat manakala keluarga penting dalam kehidupan setiap manusia.
“Kepentingan ‘memiliki perasaan bahawa hidup saya mempunyai makna’ dalam kalangan rakyat Malaysia pula mencerminkan tumpuan budaya yang lebih besar terhadap tujuan dan sumbangan,” katanya.
Dari segi keyakinan, lebih separuh rakyat Malaysia optimis bahawa kehidupan akan bertambah baik yang juga 'lebih tinggi berbanding tahap purata global.'
“Sentimen ini kekal sama dan penduduk di India serta Asia Tenggara memiliki tahap keyakinan yang lebih tinggi berbanding di Jepun dan Korea Selatan,” menurut Ipsos.
Meskipun rakyat Malaysia mengekalkan pandangan yang sebahagian besarnya adalah positif, tinjauan itu turut menonjolkan kebimbangan utama yang menjejaskan kesejahteraan mereka termasuk kestabilan dari segi kewangan, keadaan perumahan atau kehidupan dan keterjaminan pekerjaan.
“Rakyat Malaysia juga amat prihatin dengan keadaan hidup dan pekerjaan mereka. Ini mungkin mencerminkan cabaran signifikan yang mereka hadapi susulan persekitaran hidup dan budaya kerja tempatan,” katanya.
Indeks Kebahagiaan Ipsos 2025 adalah berdasarkan respons daripada 23,765 orang dewasa di bawah usia 75 tahun di 30 negara yang dikumpul antara 20 Dis 2024 dan 3 Jan 2025.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial