KOTA TINGGI, 22 Mac (Bernama) -- Berat mata memandang berat lagi bahu memikul, itulah pepatah yang boleh menggambarkan keadaan seorang ibu tunggal yang terpaksa menanggung nasib apabila pelbagai persiapan Aidilfitri yang telah dibuat musnah akibat banjir.
Mastura Md Yusof, 55, berkata semangatnya untuk beraya seakan-akan hilang apabila rumah sewa yang didiami selama 15 tahun di Kampung Kelantan, di sini, dinaiki air setinggi dua kaki pada tiga hari lepas, sebelum surut sepenuhnya malam tadi dan dibenarkan pulang dari pusat pemindahan sementara (PPS).
“Persiapan raya semua musnah termasuk barang untuk buat kuih raya dan tikar getah yang baru ditukar sempena Aidilfitri kali ini.
“Hendak sambut raya sebenarnya macam tidak ada semangat, tetapi saya kena reda atas dugaan ini dan percaya ketentuan Ilahi yang telah tertulis,” kata ibu anak lima itu ketika ditemui di rumahnya hari ini.
Dia yang tidak mempunyai pekerjaan dan disahkan menghidap sakit jantung sejak awal tahun ini, hanya bergantung pada pendapatan bulanan RM500 daripada Baitulmal.
“Saya pernah jatuh dari siling rumah pada 2002 dan sejak itu saya tidak dapat bekerja sebab sakit pinggang, ditambah dengan sakit jantung.
“Melalui pendapatan bulanan bantuan Baitulmal ini saya guna untuk bayar sewa rumah dan selebihnya bagi membeli makanan," katanya.
Justeru, dia berharap agar ada pihak berbesar hati menyalurkan sumbangan kepada mangsa yang terjejas banjir sepertinya memandangkan Aidilfitri bakal menjelang tidak lama lagi.
Sementara itu juruteknik, Mohd Afrizat Hamrizan, 33, meluahkan kerisauan berikutan cuaca yang masih tidak menentu meskipun penduduk telah dibenarkan pulang ke rumah pagi tadi.
“Kampung Kelantan ini adalah antara lokasi yang kerap banjir dan air lambat surut.
“Jadi, memang ada kerisauan sebab cuaca masih tidak menentu, takut banjir lagi. Ditambah dengan berpuasa kena bersihkan rumah, memang agak mencabar dan memenatkan,” katanya yang menetap di kampung itu sejak 12 tahun lepas.
Dia pada masa sama berkata Aidilfitri kali ini disambut hanya ala kadar sekali gus mahu mementingkan kerja-kerja pembersihan rumah yang berlumpur dan menggantikan barangan yang rosak, daripada mengeluarkan wang untuk membeli persiapan perayaan.
Terdahulu, tinjauan Bernama mendapati rata-rata penduduk di sekitar bandar raya Kota Tinggi yang terjejas membersihkan rumah mereka susulan banjir surut sepenuhnya malam tadi.
Setakat 12 tengah tadi, sebanyak 13 PPS di Kota Tinggi telah ditutup dengan melibatkan keseluruhan sebanyak 1,582 mangsa dengan dua PPS, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Telor dan SK Semangar masih beroperasi bagi menempatkan 108 mangsa.
Jumlah mangsa banjir di Johor menurun setakat pukul 12 tengah hari, iaitu 10,630 orang daripada 3,049 keluarga di enam daerah, berbanding 11,743 orang daripada 3,337 keluarga pada 10 pagi tadi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial