AM > BERITA

Wanita Jangan Takut Main Peranan Lebih Besar - Wan Azizah

23/03/2025 08:17 PM

KUALA LUMPUR, 23 Mac (Bernama) -- Isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyeru agar golongan wanita tidak takut untuk melangkah ke hadapan bagi memainkan peranan lebih besar dalam pembangunan negara dan menjadi ejen perubahan ke arah masyarakat yang lebih sejahtera.

Ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu berkata dunia hari ini memerlukan lebih ramai wanita yang berani, berwawasan dan mempunyai hikmah dalam kepimpinan.

“Sejarah telah membuktikan bahawa wanita memainkan peranan besar dalam pembentukan peradaban Islam. Contohnya Sayidatina Khadijah, seorang wanita yang bukan sahaja menjadi isteri Rasulullah SAW, tetapi juga seorang ahli perniagaan yang berjaya dan pendukung utama dakwah Islam.

“Begitu juga dengan Sayidatina Aisyah, seorang ilmuwan dan perawi hadis yang ilmunya menjadi rujukan sepanjang zaman. Kepimpinan wanita dalam Islam bukan sekadar berada di belakang tabir, tetapi turut menyumbang secara langsung dalam aspek pentadbiran, pendidikan dan pembangunan masyarakat.

“Wanita bukan hanya pelengkap, tetapi pemimpin yang boleh membawa perubahan dengan nilai-nilai hikmah dan kebijaksanaan,” katanya ketika berucap merasmikan Program Ilmu MADANI: Wanita Mukminah Kepimpinan Berhikmah di sini, hari ini.

Bahkan Dr Wan Azizah berkata universiti pertama di dunia juga diasaskan seorang wanita Islam.

"Universiti al-Qarawiyyin di Maghribi pengasasnya merupakan seorang wanita Islam, Fatima al-Fihri," katanya.

Beliau berkata kepimpinan yang berhikmah perlulah berasaskan kepada nilai-nilai keimanan, keilmuan dan kebijaksanaan, keadilan dan kesaksamaan serta kasih sayang dan empati.

Pada majlis tersebut beliau turut menyampaikan sumbangan hari raya kepada 1,000 wanita yang memerlukan dari seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan