AM > BERITA

MCMC Akan Selesaikan Masalah Capaian Internet Lemah Di Ayer Kuning - Exco

23/03/2025 02:37 PM

GOPENG, 23 Mac (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan menyelesaikan rangkaian komunikasi bagi mengatasi masalah capaian Internet lemah di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) negeri Mohd Azlan Helmi berkata perkara itu akan dilakukan kerana pihaknya menerima pelbagai aduan termasuk pemakluman daripada Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berhubung masalah berkenaan, khususnya di sekitar kawasan kampung.

Beliau berkata MCMC akan turun ke lapangan minggu depan bagi melakukan kajian dan meneliti secara terperinci mengenal masalah tersebut.

“Memandangkan PRK (pilihan raya kecil) akan diadakan di Ayer Kuning, ia akan menarik kehadiran lebih ramai orang di kawasan tersebut.

“Secara tidak langsung ia akan menjadikan capaian internet di DUN Ayer Kuning sesak selepas liputan sedia ada mungkin tidak dapat menampung peningkatan jumlah pengguna yang mendadak,” katanya kepada pemberita selepas Program Meriah Beraya Sejahtera anjuran kerajaan negeri peringkat di pasar raya Mydin di Pusat Transformasi Luar Bandar Gopeng di sini hari ini.

Pada program hari ini, 200 orang dari kawasan DUN Tualang Sekah menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM150 setiap seorang, bagi membeli barangan keperluan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini, dengan penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 12 dan 22 April.

PRK DUN Ayer Kuning diadakan berikutan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin pada 22 Feb lepas akibat serangan jantung selepas menyertai Kejohanan Bola Sepak Empat Penjuru di Stadium Bandaraya, George Town, Pulau Pinang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan