AM > BERITA

Sekolah Diminta Mohon Peruntukan Penyelenggaraan, Jamin Keselamatan Murid - Wong

23/03/2025 04:14 PM

TAIPING, 23 Mac (Bernama) -- Pihak sekolah diminta memohon dana penyelenggaraan sekolah untuk membaik pulih sebarang kerosakan infrastruktur bangunan dengan segera bagi memastikan aspek keselamatan murid sentiasa terjamin, kata Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh.

Beliau berkata demikian berikutan insiden yang tular di laman media sosial berkenaan seorang pelajar mengalami kecederaan akibat tertusuk besi pemegang tangga berkarat di sebuah sekolah rendah di Ulu Kinta, Ipoh baru-baru ini.

“Kementerian Pendidikan (KPM) telah menyediakan peruntukan RM900 juta hingga RM1 bilion bagi penyelenggaraan institusi pendidikan setiap tahun dan mengeluarkan notis kepada semua sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan untuk memohon dana bagi penyelenggaraan sekolah masing-masing.

"Bagi sekolah-sekolah bantuan kerajaan, setiap tahun permohonan ada tempoh masa untuk sekolah (mohon), untuk sekolah kerajaan pula permohonan dapat dimasukkan dalam sistem sepanjang tahun,” katanya selepas merasmikan Pertandingan Seni Khat TS 2025 Peringkat Negeri Perak Sentral Mall Taiping di sini hari ini. 

Beliau berkata perkara itu penting supaya ia dapat diberikan perhatian oleh pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan juga oleh pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).

Terdahulu dalam satu hantaran tular, seorang wanita memaklumkan anaknya mengalami kecederaan di tangan akibat tertusuk besi tangga sekolah yang berkarat, dalam kejadian yang dipercayai berlaku Khamis lepas.

Akibat kecederaan itu, wanita berkenaan mendakwa anaknya terpaksa mendapatkan rawatan di hospital swasta dengan kos hampir RM10,000 selepas gagal menerima rawatan segera di hospital kerajaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan