AM > BERITA

Mangsa Banjir Di Tiga Negeri Terus Menurun Petang Ini

23/03/2025 06:30 PM

KUALA LUMPUR, 23 Mac (Bernama) -- Keadaan banjir di Johor, Sarawak dan Sabah bertambah baik pada petang ini apabila jumlah keseluruhan mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) berkurang kepada 5,808 orang berbanding 8,274 orang pada pagi tadi.

Di JOHOR, jumlah mangsa terus menurun kepada 4,597 orang setakat 4 petang ini, berbanding 6,911 orang yang direkodkan pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Tan Sri Dr. Azmi Rohani berkata kesemua mangsa daripada 1,481 keluarga masih berlindung di 29 PPS yang beroperasi di lima daerah terjejas.

Menurutnya daerah Johor Bahru kekal mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 3,042 orang, diikuti Pontian (604), Kluang (525), Batu Pahat (336) dan 90 mangsa di Kota Tinggi.

"Keadaan cuaca di sembilan daerah di Johor diramalkan cerah, manakala Muar dijangka mendung pada petang ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Di SARAWAK,  Sekretariat JPBN memaklumkan jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di enam PPS di Sibu dan Kapit juga menurun daripada 970 orang pada pagi tadi kepada 907 orang pada petang ini.

Jumlah itu dijangka terus berkurangan berikutan situasi banjir yang beransur pulih di kedua-dua bahagian terlibat.

Mangsa banjir di Sibu ditempatkan di tiga PPS iaitu Dewan Serbaguna Selangau, Dewan Kompleks Sukan Kanowit dan Dewan Komuniti Sibu Jaya. Sementara itu, PPS di Kapit adalah di Balai Raya Song, Asrama Belia Kapit, dan Dewan Suarah Kapit..

Di SABAH,  jumlah mangsa banjir menurun kepada 304 orang daripada 86 keluarga berbanding 393 orang daripada 137 keluarga pagi tadi.

Sekretariat JPBN Sabah memaklumkan hanya dua PPS di Beaufort masih beroperasi dengan trend pemindahan banjir di daerah berkenaan menunjukkan penurunan.

Dalam pada itu, PPS di daerah Keningau dan Sipitang pula telah ditutup.

--- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan