KUALA SELANGOR, 23 Mac (Bernama) -- Empat klinik desa (KD) di Johor terjejas akibat banjir dengan tiga daripadanya telah kembali beroperasi, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Dzulkefly berkata setakat ini, KD Maju Jaya dan Plentong di Johor Bahru serta Batu 4 di Kota Tinggi telah beroperasi semula manakala perkhidmatan KD Kangkar Tebrau juga di Johor Bahru terpaksa dipindahkan sementara ke Klinik Kesihatan (KK) Majidee.
"Kita sedang meneliti langkah terbaik bagi memastikan perkhidmatan di KD Kangkar Tebrau dapat kembali seperti sediakala secepat mungkin. Buat masa ini, pesakit boleh mendapatkan rawatan di KK Majidee tanpa sebarang masalah," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Pengedaran Bubur Lambuk dan Penyampaian Tabung Kecemasan Gaza di Pasar Raya Econsave Puncak Alam, di sini.
Mengenai keadaan petugas kesihatan di Johor yang terjejas banjir, Dzulkefly berkata mereka tetap menjalankan tugas seperti biasa termasuk di pusat pemindahan sementara (PPS).
"Saya lihat ramai petugas tetap berkerja walaupun rumah mereka sendiri terjejas banjir. Ini menunjukkan dedikasi mereka dalam memastikan perkhidmatan kesihatan kepada rakyat tidak terganggu," katanya.
Dalam pada itu, Dzulkefly berkata sebanyak 1,512 notis di bawah Seksyen 32B Akta Makanan 1983 telah dikeluarkan meliputi pelbagai kesalahan terhadap peniaga dan pengendali bazar Ramadan di seluruh negara dari hari pertama puasa hingga semalam.
Beliau berkata notis dikeluarkan itu antaranya tidak menjalani latihan pengendali makanan, tiada suntikan antitifoid dan pakaian pengendali makanan tidak mematuhi keperluan peraturan kebersihan makanan.
“Saya ingin mengingatkan semua peniaga dan pengendali makanan untuk segera mengambil tindakan bagi mengatasi kekurangan ini. Kita tidak mahu ada gejala keracunan makanan dan sebagainya.
“Penguat kuasa kita sentiasa turun padang dan kita harap jangan ambil mudah dari segi suntikan antitifoid serta pemakaian pengendali makanan seperti perlu memakai apron,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial