AM > BERITA

"Air Tangan" Aidilfitri Tirai Besi Terima Sambutan Luar Biasa

24/03/2025 10:09 AM

KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Dek penangan kuasa viral, biskut raya hasil “air tangan” penghuni tirai besi yang dipasarkan di Galeri Produk My Pride, Kompleks Penjara Kajang, mendapat sambutan luar biasa sejak awal Ramadan.  

Ia mula mendapat perhatian setelah seorang pempengaruh memuat naik video tentang pelbagai jenis biskut raya dan makanan sejuk beku yang dipasarkan di galeri itu, disifatkan bukan hanya memiliki kualiti premium, tetapi juga lebih murah berbanding harga di luar.

Keadaan itu menyebabkan tempat berkenaan tidak henti-henti ‘diserbu’ orang ramai bagi mendapatkan biskut raya sehingga jualan terpaksa dihentikan sementara waktu baru-baru ini, bagi tujuan penambahan stok. 

Komisioner Jeneral Penjara Datuk Abdul Aziz Abdul Razak berkata setakat 21 Mac lepas, lebih 60,000 balang kuih raya yang dipasarkan di galeri itu, dihasilkan oleh lebih  300 penghuni penjara dari Penjara Pokok Sena, Seberang Perai, Tapah, Batu Gajah, Wanita Kajang, Sungai Udang, Kluang, Simpang Renggam, Bentong dan Pengkalan Chepa telah terjual.

“Saban tahun jualan biskut raya kita lakukan namun tahun ini sambutan agak luar biasa dan tahniah juga kepada prospek (penghuni) penjara dan institusi penjara di seluruh negara yang telah terlibat pada tahun ini,” katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.

Beliau berkata perancangan penjualan biskut raya itu, bermula sejak awal tahun lagi dengan institusi penjara yang mengambil bahagian menghantar lebih 80 contoh produk yang ingin dipasarkan sempena Aidilfitri tahun ini bagi penilaian.

“Berdasarkan maklum balas uji rasa yang pihak kami lakukan, lebih 40 jenis biskut raya dan kudapan, termasuk rempeyek, muruku dan tempe goreng telah dipilih untuk dijual di galeri, seperti yang dapat dilihat pada tahun ini dan ia dijual pada harga bermula RM12 hingga RM30 sebalang.

“Paling mendapat sambutan pada tahun ini, ialah ‘Tart Nanas Geboo’ dari Pengkalan Chepa, ‘Cinta Hati Dahlia’ dari Seberang Perai dan ‘Swiss Tart’ dari Bentong,” katanya yang meletakkan sasaran jualan tahun ini mencecah RM2 juta berbanding RM1.4 juta yang dicatatkan tahun lepas.

Turut dijual tart nanas keju, biskut “Butang Baju Abang Jamil”, badam coklat, biskut Black Button, Rainbow Delight, biskut mazola, makmur, bangkit, semperit, popia manis, kuih rotan dan biskut Peanut Crunchy.

Beliau berkata sambutan hangat yang ditunjukkan itu secara langsung membuktikan rasa dan kualiti produk dihasilkan oleh penghuni tirai besi setanding biskut raya yang ada di pasaran.

Ia juga membuktikan program pemulihan oleh Jabatan Penjara Malaysia mampu menjadi bekalan yang berguna untuk membantu penghuni membentuk kembali kehidupan yang tersasar sebelum ini, apabila dibebaskan kelak.

Abdul Aziz berkata selain di Galeri Produk My Pride yang dibuka setiap hari bermula 9 pagi hingga 4.30 petang, orang ramai masih berpeluang mendapatkan produk itu di gerai jualan di Istana Kehakiman, Putrajaya bermula 24 hingga 26 Mac, yang dibuka dengan kerjasama Jabatan Peguam Negara.

Beliau berkata hasil jualan akan disalurkan ke Akaun Amanah Pemulihan dan Kebajikan Penghuni dan penghuni penjara yang terlibat akan menerima insentif berdasarkan tahap kemahiran dimiliki. 

“Hasil ini juga akan digunakan untuk membuat perolehan bahan mentah, peralatan, naik taraf fasiliti, latihan kemahiran TVET serta melaksanakan aktiviti-aktiviti pemulihan dan kebajikan penghuni seperti majlis keagamaan, sukan, seni dan kebudayaan,” katanya.

Sementara itu, seorang pelanggan Nuraisha Rusli, 41, dari Hulu Langat berkata tahun ini merupakan tahun keempat dia membeli biskut raya dari galeri berkenaan kerana kualiti dan rasanya yang enak, terutamanya tart nanas dari Penjara Pengkalan Chepa.

“Tahun ini saya datang lagi kerana banyak kuih yang tular dan harga yang ditawarkan juga berbaloi berbanding kualiti premium yang ditawarkan malah jauh lebih rendah berbanding kuih yang dijual di luar,” katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan