KUCHING, 24 Mac (Bernama) -- Markas Wilayah Laut 4 (Mawilla 4) menempatkan pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang akan dibina di Muara Tebas mampu beroperasi sebagai lokasi strategik transit kapal selam, kata Panglima Tentera Laut Laksamana Datuk Zulhelmy Ithnain.
Beliau berkata ia berikutan aspek kawasan perairan di tapak pangkalan berkenaan yang sesuai serta strategik iaitu tidak landai dan mempunyai kedalaman laut 14 meter secara semula jadi.
“Untuk masuk sebagai transit kapal selam, boleh tiada masalah. Namun, untuk kita aturkan kapal selam itu dari sini sebagai pangkalan operasi hadapan, saya boleh katakan ada kemungkinannya.
“Untuk pelabuhan kapal, kita memang akan tengok kesesuaiannya sama ada kita boleh berlabuh untuk ulang bekal dan sebagainya…,” katanya pada sidang media selepas melawat tapak projek Mawilla 4 di sini hari ini.
Zulhelmy berkata kedalaman laut dan keluasan lokasi berkenaan turut membolehkan kapal yang berukuran 100 hingga 120 meter panjang untuk berlabuh.
Pada awalnya, Mawilla 4 dicadangkan untuk dibina di Samalaju, Bintulu namun dipindahkan ke Muara Tebas atas pelbagai faktor.
Zulhelmy ketika mengulas mengenai kajian kebolehlaksanaan pembinaan markas itu berkata ia akan dijalankan oleh Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) selaku tuan tanah tapak projek berkenaan, dan dijangka siap suku pertama tahun depan.
“Kajian kini sedang dilaksanakan SEDC dan untuk proses pembinaan ia memakan masa kira-kira tiga tahun selepas mendapat kebenaran daripada Kementerian Pertahanan.
“Kita perlu selaraskan dengan perbelanjaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dan ini menjadi projek keutamaan kepada ATM… Sekiranya mendapat kebenaran awal, kita boleh mula pembinaan lebih awal lagi,” katanya.
Dalam pada itu, Zulhelmy berkata berdasarkan pelan cadangan asal projek, tiada perpindahan akan berlaku melibatkan penduduk di Kampung Goeblit serta kawasan sekitarnya.
Beliau berkata pembinaan Mawilla 4 tidak akan mengganggu penempatan di kawasan itu, sebaliknya ia membawa kemakmuran kepada rakyat.
Turut hadir Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaffar dan Pengerusi SEDC Tan Sri Abdul Aziz Hussain.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial