AM > BERITA

Isu Beras Campur: KPDN Periksa Tujuh Kilang Beras Di Pulau Pinang

24/03/2025 03:31 PM

NIBONG TEBAL, 24 Mac (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang memeriksa tujuh daripada sembilan kilang pemprosesan beras di negeri itu bagi menyiasat kegiatan mencampur beras putih tempatan dengan import.

Pengarah KPDN Pulau Pinang S. Jegan berkata sampel beras yang diperoleh daripada pemeriksaan itu dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia bagi mendapatkan keputusan.

“Dua daripada sembilan kilang itu tidak diperiksa sebab tidak menjalankan aktiviti pembungkusan (dan pemprosesan). Jadi, kita masih menunggu keputusan (daripada Jabatan Kimia Malaysia),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menjalankan pemantauan harga sempena pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2025 di sebuah pasar raya di sini hari ini. Turut hadir Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Pulau Pinang Mohd Suffian Mohd Abbas.

Jegan berkata tindakan undang-undang akan diambil ke atas mana-mana pihak yang didapati menjalankan kegiatan mencampur beras putih tempatan dengan import di bawah Seksyen 5 Akta Perihal Dagangan 2011.

Beliau berkata pelaksanaan SHMPP Hari Raya Puasa 2025 berkuat kuasa selama 15 hari bermula hari ini hingga 7 April iaitu tujuh hari sebelum perayaan, sehari semasa perayaan dan tujuh hari selepas perayaan tertakluk kepada pengumuman tarikh Hari Raya Aidilfitri.

“KPDN mengenal pasti 26 jenis barangan yang akan dikawal di bawah skim itu pada tahun ini berbanding 22 barangan semasa pelaksanaannya pada tahun lepas.

“Empat barangan yang ditambah di seluruh negara di bawah skim itu adalah bawang merah kecil India, bawang merah kecil India (Ros), lobak merah dan santan,” katanya.

Antara barangan lain yang terlibat di bawah skim itu adalah daging kerbau import India yang dikawal di Semenanjung, Sabah dan Labuan sahaja; daging lembu import (dikawal di Sarawak sahaja); ikan aya atau tongkol (Pahang, Terengganu dan Kelantan) dan kubis bulat import.

Selain itu, sawi hijau, timun, tomato, cili merah, kacang panjang, bawang putih China, ubi kentang import China, kelapa biji (dikawal di peringkat borong sahaja) dan kelapa parut (dikawal di peringkat runcit sahaja).

“Pelaksanaan skim kali ini bersesuaian bagi menjamin suatu tempoh yang wajar dan mewujudkan suasana menang-menang kepada pengguna dan komuniti peniaga. Pengguna dapat menikmati harga berpatutan dan peniaga pula tidak tertekan dengan tempoh masa pelaksanaan yang terlalu lama.

“Selain itu, penentuan harga ini dibuat setelah mengambil kira pandangan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), agensi kerajaan dan pemain industri. KPDN akan terus bekerjasama dengan KPKM bagi memastikan bekalan barangan yang dikawal mencukupi sepanjang tempoh pelaksanaan skim,” katanya.

Jegan berkata 137 anggota pegawai penguat kuasa dan 62 pegawai pemantau harga seluruh KPDN Pulau Pinang ditugaskan di lokasi-lokasi strategik seperti di pasar awam, pasar tani dan pusat beli-belah barangan keperluan perayaan bagi menjalankan pemeriksaan dan penguatkuasaan.

Justeru, beliau berkata semua pihak diharap dapat mematuhi harga-harga yang ditetapkan dan menggunakan label berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal.

“Bagi kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum, individu boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000 manakala syarikat boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun RM250,000.

“Bagi kesalahan gagal meletak tanda harga berwarna merah jambu untuk barangan harga terkawal, individu boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM10,000 atau dikompaun RM5,000 manakala syarikat boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000,” katanya.

Sementara itu, Jegan berkata bermula 1 Jan hingga kini, KPDN Pulau Pinang memeriksa 19,056 premis di seluruh negeri itu dan mengambil tindakan ke atas 272 kes pelbagai kesalahan dengan jumlah sitaan kira-kira RM1.77 juta dan kompaun RM55,200.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan