AM > BERITA

TF Value-Mart Buka Pasar Raya Besar Ke-49 Di Batu Caves

24/03/2025 04:57 PM

KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- TF Value-Mart melakar pencapaian luar biasa menerusi pembukaan pasar raya besarnya yang ke-49 di Batu Caves hanya dalam tempoh 28 hari selepas proses pengambilalihan.

Dalam satu kenyataan, TF Value-Mart Sdn Bhd memaklumkan pengambilalihan oleh syarikat itu susulan pertikaian undang-undang dengan GCH Retail (Malaysia) Sdn Bhd iaitu pengendali pasar raya besar Giant. 

“Pada November 2024, Mahkamah Tinggi mengeluarkan perintah tambahan yang mengarahkan GCH Retail untuk mengosongkan premis dalam tempoh tiga bulan. Mahkamah juga membenarkan notis penal untuk memastikan penyewa yang keluar mematuhi penyerahan milikan kosong.

“Pada 21 Feb 2025, TF Value-Mart secara rasmi mengambil alih milikan kosong di lokasi seluas 180,000 kaki persegi itu sekali gus mengakhiri pertikaian undang-undang. Sementara itu, kes yang masih berjalan antara GCH Retail dan TF Value-Mart dijadualkan untuk pendengaran pada Mei 2026,” menurut kenyataan itu.

Pada 20 Mac 2025, pasar raya yang telah menjalani proses pengubahsuaian itu dibanjiri lebih 9,000 pelanggan yang teruja untuk merasai pengalaman membeli-belah menjelang sambutan Aidilfitri.

Sebagai meraikan pembukaan itu, TF Value-Mart melancarkan Promosi Rahmah MADANI yang menawarkan diskaun bagi barangan keperluan asas dan produk perayaan, menawarkan penjimatan untuk pelanggan bersempena musim perayaan Aidilfitri. 

Ketua Pegawai Eksekutif TF Value-Mart Ho Mun Hao menyuarakan rasa bangga terhadap keupayaan syarikat untuk membuka pasar raya itu dalam masa yang singkat serta sambutan luar biasa pembeli pada hari pembukaan.

“Pasar raya baharu itu membabitkan pelaburan melebihi RM27 juta dalam perbelanjaan modal dan inventori selain mewujudkan 150 peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia,” kata Ho.

Dengan kekuatan tenaga kerja melebihi 3,300 pekerja, TF Value-Mart terus komited menyokong perniagaan tempatan menerusi jalinan kerjasama bersama lebih 150 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan untuk mempromosikan produk mereka di semua cawangan.

“Pada 2024, TF Value-Mart berjaya meningkatkan jualan PKS melebihi RM42 juta sekali gus mengukuhkan peranannya selaku pemain utama dalam memperkasakan ekosistem runcit Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, menyentuh mengenai komitmen terhadap tanggungjawab sosial, TF Value-Mart bakal membantu 100 keluarga serta Rumah Perlindungan Al Nasuha di Batu Caves, dengan menyediakan keperluan asas dan baucar beli-belah RM100 bagi setiap kanak-kanak di Al Nasuha untuk membantu meringankan beban kewangan mereka.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan