AM > BERITA

Peningkatan Kapasiti Agensi Pelaksana Penting Jayakan Projek Kerajaan Di Sarawak – Fadillah

24/03/2025 05:20 PM

KUCHING, 24 Mac (Bernama) -- Peningkatan kapasiti teknikal agensi pelaksana amat penting bagi memastikan setiap projek kerajaan di Sarawak dapat dijalankan dengan lebih lancar dan berkesan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata komitmen berterusan daripada semua pihak amat diperlukan bagi memastikan agenda pembangunan Sarawak terus bergerak maju demi kesejahteraan rakyat.

“Keutamaan kita adalah memastikan setiap projek bukan sahaja siap mengikut jadual tetapi juga memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat dan kemajuan negeri,” katanya dalam hantaran di laman Facebook beliau.

Hantaran itu dibuat susulan Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNG) Sarawak Bil 1 Tahun 2025 yang dipengerusikan beliau bersama Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas di Wisma Bapa Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata tumpuan utama mesyuarat itu adalah terhadap perancangan serta pelaksanaan projek pembangunan di Sarawak, perbincangan tentang status semasa projek termasuk analisis prestasi, peruntukan perbelanjaan serta isu berkaitan dalam kerangka Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12). 

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata mesyuarat itu menjadi landasan penting dalam perancangan awal kerangka RMK-13 bagi Sarawak memastikan kesinambungan pembangunan yang mampan dan inklusif.

Selain itu, beliau berkata cabaran utama seperti kekangan peruntukan dan kelewatan penyempurnaan projek turut diperhalusi bagi merangka penyelesaian yang lebih efektif dengan keutamaan kepada tahap kecekapan dan keberkesanan yang tinggi. 

“Justeru, pelbagai pendekatan strategik telah dibincangkan bagi mempercepatkan pelaksanaan projek serta memastikan manfaatnya dapat dinikmati oleh rakyat Sarawak.

“Dengan kerjasama dan iltizam semua pihak, saya yakin setiap inisiatif pembangunan di negeri ini dapat direalisasikan dengan lebih berkesan,” tambahnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan