AM > BERITA

Malaysia Lanjut Kerjasama Dengan China Berhubung Program Pemuliharaan Panda Gergasi - Nik Nazmi

26/03/2025 12:18 AM

KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Malaysia melanjutkan kerjasama dengan China dalam program pemuliharaan panda gergasi, yang membolehkan panda itu terus ditempatkan di Zoo Negara, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar Nik Nazmi Nik Ahmad.

Beliau berkata jemaah Menteri pada 28 Jun tahun lepas telah bersetuju untuk meneruskan Perjanjian Projek Kerjasama Antarabangsa Konservasi Giant Panda bersama Republik Rakyat China dengan penghantaran pulang pasangan sedia ada dan penerimaan pasangan baharu.

Berdasarkan perjanjian, sekiranya panda berkenaan melahirkan anak, anak panda itu akan dikembalikan ke China.

"Ia adalah simbol persahabatan antara Malaysia dan China. Ia menarik pengunjung ke Zoo Negara, itu sebabnya kerajaan menyokong inisiatif itu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Kelab Concorde di Wisma Bernama hari ini.

Panda gergasi Fu Wa dan Feng Yi yang dipinjamkan kepada Malaysia oleh China pada 21 Mei 2014, telah melahirkan tiga anak: Nuan Nuan pada 18 Ogos 2015, Yi Yi pada 14 Januari 2018, dan Sheng Yi pada 30 Mei 2021.

Kelab Concorde merupakan perkumpulan tidak rasmi kelompok wartawan tempatan dan asing yang bertemu setiap bulan dengan Menteri Kabinet dan penggubal dasar, diketuai oleh Pengerusi Bernama Datuk Seri Wong Chun Wai.

Turut hadir mesyuarat hari ini ialah Wong dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj.

Mengenai kadar kitar semula di Malaysia, Nik Nazmi mengunjurkan bahawa kadar negara akan mencapai 40 peratus menjelang akhir tahun ini, meningkat daripada 35 peratus angka semasa.

"Bagaimanapun bahan tertentu seperti plastik masih mempunyai kadar kitar semula yang sangat rendah. Jika kita boleh meningkatkan kadar ini untuk sejajar dengan piawaian global, atau sekurang-kurangnya menghampirinya, kita akan dapat memastikan bahan mentah yang mencukupi untuk memenuhi permintaan industri," katanya.

Nik Nazmi berkata pendekatan menyeluruh diperlukan untuk menangani isu ini, khususnya bagi plastik, yang menampilkan cabaran hebat untuk dikitar semula, namun ia tidak seharusnya dipinggirkan, selaras dengan kepakaran industri yang meningkat.

Menteri itu juga ditanya mengenai cuaca, dan beliau berkata kerajaan sedang berusaha meningkatkan ketepatan ramalan cuaca sebagai cara agar dapat bertindak balas dengan lebih baik terhadap kesan perubahan iklim dengan menggunakan sistem komputer termaju dan teknologi kecerdasan buatan (AI).

"Ketika ini ramalan dilanjutkan sehingga tujuh hari. Kami menyasarkan untuk meningkatkan ia kepada 14 hari dengan menggabungkan teknologi AI. Mudah-mudahan, ini akan membantu kita menyesuaikan diri dengan lebih baik kepada perubahan berterusan yang dibawa oleh perubahan iklim. Bagaimanapun ia kekal sebagai isu yang sangat dinamik," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan