AM > BERITA

3.14 Juta Kenderaan Dijangka Memasuki Pahang Aidilfitri Ini

24/03/2025 06:07 PM

KUANTAN, 24 Mac (Bernama) -- Sebanyak 3.14 juta kenderaan dijangka memasuki Pahang menjelang perayaan Aidilfitri bermula 27 Mac hingga 7 April ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri Datuk Razali Kassim.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 2.24 juta kenderaan diramalkan daripada Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak manakala 903,000 pula kenderaan yang melalui Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1).

“Jumlah kenderaan pada perayaan Aidilfitri kali ini dijangka meningkat. Hari puncak bagi Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak adalah pada 5 April, hari Sabtu iaitu dijangkakan kira-kira 216,000 kenderaan sementara di LPT1 adalah pada keesokannya dengan anggaran sekitar 119,000 kenderaan.

“Jadi, saya menyeru kepada semua pengguna jalan raya untuk rancang perjalanan memandangkan Hari Raya Aidilfitri kemungkinan disambut Isnin. Mungkin boleh pulang awal ke kampung supaya dapat elak kesesakan jalan raya,” katanya kepada media selepas Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan dan Ops Siaga Raya Aidilfitri Tahun 2025 di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Mohd Razam Taja Rahim.

Razali berkata dalam memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna di lebuh raya, kerajaan negeri sentiasa melakukan penyelenggaraan dan penambahbaikan termasuk yang terbaharu di Lingkaran Tengah Utama (LTU). 

“Baru-baru ini, tular tentang jalan rosak di pakej 5C1 daerah Bentong, LTU yang melibatkan keperluan pembaikan sepanjang 400 meter. Alhamdulillah, JKR (Jabatan Kerja Raya) telah mengambil tindakan dan kerja pembaikan telah bermula hari ini dan dijangka siap pada Rabu ini. 

“(Bagi kawasan gelap, lampu jalan) kita akan buat secara berperingkat berdasarkan peruntukan yang diluluskan. Biasanya, kalau kawasan tidak ada bekalan elektrik, kita akan pasang lampu solar,” katanya. 

Berkenaan kerajaan Pahang akan membina empat kawasan hentian rawat dan rehat (R&R) sementara di LTU, beliau berkata ia dijangka siap kira-kira beberapa hari sebelum perayaan Aidilfitri. 

“Tahun lepas, kita dapati banyak rungutan daripada pengguna jalan raya yang berhadapan kesukaran untuk menunaikan solat dan ke tandas kerana tidak ada R&R. Jadi, tahun ini kerajaan negeri ambil inisiatif untuk membina dulu R&R sementara bagi kemudahan pengguna jalan raya sempena perayaan ini,” katanya. 

Dua R&R sementara itu akan dibina di Bentong melibatkan kedua-dua arah laluan manakala masing-masing satu di Lipis dan Raub.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan