NILAI, 24 Mac (Bernama) -- Peniaga santan diingatkan supaya tidak mengambil kesempatan mencampurkan perahan santan segar dengan bahan lain semata-mata untuk mengaut keuntungan menjelang Aidilfitri.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Dr Fuziah Salleh berkata hal ini kerana permintaan terhadap santan segar pasti akan meningkat lebih-lebih lagi santan kini antara barang kawalan.
"Kita tiada mekanisme dalam mengukur berapa banyak air, berapa banyak santan yang dicampur berbanding mengukur berapa banyak beras import dan berapa beras tempatan itu dicampur, itu bolehlah diukur.
"Jadi memang sukar hendak kita ukur, bagaimanapun jika perkara berkenaan benar berlaku, pengguna boleh melaporkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan kita akan lakukan siasatan," katanya.
Beliau berkata kepada pemberita pada tinjauan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2025 yang turut dihadiri Pengarah KPDN Negeri Sembilan Muhammad Zahir Mazlan di sebuah pasar raya di sini hari ini.
Fuziah berkata KPDN sentiasa melaksanakan Op Pantau sepanjang Ramadan sehingga menjelang Aidilfitri, malah pihaknya juga mempunyai sistem khas melalui Aduan Suri dan pengguna boleh membuat aduan sekiranya ada peniaga dikesan mengambil kesempatan.
Beliau turut mengingatkan peniaga supaya tidak menjual makanan berasaskan santan seperti lemang pada harga terlampau tinggi sehingga membebankan pengguna berikutan harga maksimum santan ditetapkan RM17.50 sekilogram di Semenanjung.
"Sekiranya peniaga menyatakan alasan harga lemang yang dijual mahal disebabkan harga santan meningkat, maknanya mereka melakukan kesalahan berkaitan pencatutan dan boleh diambil tindakan di bawah Akta 723.
"Walaupun harga lemang berbeza-beza mengikut saiz dan lokasi, peniaga sewajarnya menjual pada harga berpatutan. KPDN tidak mengawal harga lemang tetapi kita akan pantau, janganlah naik harga yang melampau, biarlah berpatutan," katanya.
-- BERNAMA
© 2025 BERNAMA • Penafian • Dasar Privasi • Dasar Keselamatan