BERITA TERGEMPAR    PM Anwar akan teruskan tradisi Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI di lapan negeri, bermula di Melaka, 5 April ini -Setiausaha Akhbar | PM Anwar akan teruskan tradisi Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI di lapan negeri, bermula di Melaka, 5 April ini -Setiausaha Akhbar |
 AM > BERITA

Akta 852: Lebih 51,000 Kedai Terlibat Larangan Pameran Produk Merokok Di Kaunter Jualan

24/03/2025 08:39 PM

PUTRAJAYA, 24 Mac (Bernama) -- Lebih 51,000 kedai terlibat dalam larangan pameran produk merokok di kaunter jualan bermula 1 April ini, menurut Kementerian Kesihatan (KKM).

Ini berikutan penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) bersama-sama peraturan dan perintah yang berkaitan di bawahnya mulai 1 Okt lepas.

KKM dalam kenyataan hari ini memaklumkan larangan pameran produk merokok di kaunter jualan itu di bawah Peraturan 6, Peraturan-Peraturan Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam (Kawalan Penjualan) 2024.

"Sejak penguatkuasaan Akta 852, KKM sentiasa memastikan setiap peraturan dipatuhi mengikut tempoh yang ditetapkan, termasuklah melalui pendidikan dan advokasi yang dijalankan secara berterusan," menurut kenyataan itu di sini hari ini.

Bagi memastikan pematuhan terhadap kawalan yang ditetapkan, KKM memaklumkan pendekatan penguatkuasaan secara berfasa yang berhemah, berhikmah dan berkesan telah ditetapkan.

“Penguatkuasaan yang dirancang itu telah dibahagikan kepada penguatkuasaan serta merta dan berfasa. 

"Selain itu, mengambil kira keberkesanan dan kesesuaian pelaksanaan di beberapa negara lain, kaedah yang dianggap paling sesuai bagi pelaksanaan larangan pameran ini adalah dengan menyediakan almari bertutup berbanding penggunaan kain atau kanvas," menurut kenyataan itu.

KKM memaklumkan perkara itu sangat penting bagi mengelakkan sebarang ketidakpatuhan yang boleh memberi ruang kepada aktiviti promosi secara tidak langsung yang bertentangan dengan semangat dan maksud larangan pameran tersebut.

Justeru, KKM memaklumkan akan terus bekerjasama dengan pekedai untuk memastikan pemasangan almari bertutup dibuat mengikut spesifikasi, dan pematuhannya dipantau rapat dari semasa ke semasa.

Menurut kenyataan itu, proses tersebut dijangka selesai sepenuhnya menjelang 1 Okt ini.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan