Oleh Artthur Edward
KOTA KINABALU, 25 Mac (Bernama) -- Selepas bertahun-tahun menabur bakti dalam dunia media, Jennifer Tugung Michael akhirnya mengambil langkah berani untuk menceburi bidang keusahawanan sepenuh masa.
Keputusan itu membawa kepada lahirnya krim pelindung matahari jenama tempatan Sabah yang diberi nama Ferherneo.
Berusia 31 tahun, Jennifer mendedahkan bahawa idea untuk mencipta krim tersebut tercetus daripada pengalamannya sendiri semasa melakukan aktiviti luar di pulau sekitar Kota Kinabalu termasuk Taman Tunku Abdul Rahman dan pulau-pulau indah di Semporna.
Anak bongsu daripada empat beradik itu aktif dengan kegiatan di pulau sejak berusia 19 tahun dan menyedari tiada krim pelindung matahari berjenama tempatan dijual di pasaran.
Kekosongan itu dilihatnya sebagai sesuatu yang merugikan terutama dalam usaha memanfaatkan potensi ekonomi Sabah menerusi sektor pelancongan yang berkembang pesat.
"Kebanyakan produk yang dijual di jeti pulau merupakan produk jenama luar seperti jenama Banana Boat (Amerika Syarikat) dan Sunplay (Jepun). Ramai perlu tahu krim pelindung matahari ini penting untuk melindungi kulit daripada masalah seperti selaran matahari dan bintik-bintik hitam.
“Produk saya ini juga kalis air dan sesuai untuk digunakan ketika kita melakukan aktiviti di kawasan pulau-pulau terutama di Sabah serta Borneo ini. Selain itu boleh juga untuk kegunaaan harian," kata ‘sumandak’ berketurunan Kadazan dari Penampang itu dalam temu bual dengan Bernama baru-baru ini.
Jennifer yang berkelulusan Sarjana Muda Komunikasi dari Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang dan bekas pelajar praktikal di Bernama Biro Sabah itu berkata beliau mengambil masa hampir dua tahun untuk menghasilkan produk berkenaan.
"Cabaran utama adalah mencari kilang tempatan yang boleh menghasilkan produk pelindung matahari berkualiti dan berdaya saing, kos membuat produk ini juga agak mahal. Pelindung matahari ini juga bertekstur moden iaitu krim berbentuk cecair.
"Berbeza dengan krim pelindung matahari tradisional yang berfungsi hanya melindungi kulit daripada sinaran matahari, produk ini juga melembapkan dan mencerahkan kulit wajah dan tubuh," tambahnya yang telah menjual lebih 200 unit produk tersebut.
Beliau berkata harga asal produk itu ialah RM50 namun beliau giat menjual produk itu di media sosial antaranya Facebook dan TikTokshop dengan harga promosi RM25.
Jennifer yang juga usahawan bimbingan TEKUN Nasional, menjelaskan bahawa produk krim pelindung matahari Ferherneo sudah berdaftar dan mendapat notifikasi daripada Kementerian Kesihatan.
Selain itu, krim tersebut juga dilengkapi dengan daya ketahanan kalis air melebihi 40 minit, menjadikannya pilihan yang ideal untuk mereka yang aktif dengan aktiviti luar terutamanya di kawasan pesisir pantai Sabah.
Beliau berkata nama Ferherneo adalah daripada gabungan nama panggilannya Fefer iaitu ‘Fer’, ‘her’ mewakili keusahawanan wanita manakala ‘neo’ berasal daripada perkataan Borneo.
Ditanya sebab menceburi bidang keusahawanan, menurutnya beliau ingin mencipta dan menerokai sesuatu yang baharu di samping mewujudkan peluang pendapatan untuk dirinya dan orang lain.
"Saya juga ingin menyahut cabaran ini untuk membuktikan bahawa bidang keusahawanan juga mampu menjana pendapatan yang baik.
"Selain itu, saya ingin menyahut cabaran bahawa anak muda Sabah tidak perlu mencari pekerjaan di Semenanjung demi mendapat peluang pekerjaan atau pendapatan yang lebih baik sebaliknya anak muda di negeri ini harus mencipta peluang mereka sendiri," katanya.
Jennifer juga menceritakan beliau kurang mendapat sokongan moral daripada sesetengah ahli keluarga kerana mereka mempunyai mentaliti tradisional iaitu lepasan universiti harus bekerja dengan kerajaan atau swasta dan bukannya mengambil risiko berniaga.
"Saya juga berharap pihak kerajaan boleh memberikan sokongan kepada usahawan muda seperti saya yang mengeluarkan produk tempatan sekali gus mengiktiraf produk ini sebagai produk Sabah yang baharu. Saya juga berharap rakyat di negeri ini menyambut baik produk ini," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial