KUALA TERENGGANU, 25 Mac (Bernama) -- Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) memberi jaminan bekalan air untuk kegunaan ketika perayaan Aidilfitri mencukupi walaupun dijangka berlaku peningkatan sekitar empat peratus.
Ketua Pegawai Eksekutif SATU Abdul Karim Endut berkata ketika ini kadar penggunaan air di Terengganu sekitar 829 juta meter padu sehari.
Bagaimanapun, beliau berkata keupayaan atau kapasiti pengeluaran air bersih di 15 loji rawatan air seluruh negeri berkenaan lebih tinggi iaitu kira-kira 1,030 juta meter padu sehari.
“Pada musim perayaan, peningkatan (penggunaan air) kita dapati lebih kurang sama dengan musim cuti sekolah atau cuti hujung minggu yang panjang.
“Secara keseluruhan, kita ada bekalan yang mencukupi atau rizab sehingga 22 peratus untuk tampung peningkatan penggunaan terutama di beberapa daerah seperti Besut dan Hulu Terengganu,” katanya pada majlis berbuka puasa di sini malam tadi.
Abdul Karim berkata bagi memastikan kelancaran operasi pada perayaan Aidilfitri, 80 petugas diarah bersedia bagi menangani gangguan bekalan air sekiranya berlaku di mana-mana tempat.
Selain itu, SATU juga memohon kebenaran polis untuk pergerakan rakan niaga atau vendor di atas jalan raya jika berlaku kes kecemasan seperti kebocoran paip dan sebagainya.
“Di loji kita memang ada petugas yang tidak bercuti dan siap sedia sekiranya terdapat gangguan bekalan air. Setiap daerah ada 10 orang.
“Pada masa sama, kita dah dapatkan kebenaran pihak berkuasa untuk vendor bergerak ketika Aidilfitri. Senarai pun kita dah beri kerana mereka ini petugas barisan hadapan. Jika ada kebocoran mereka akan bantu,” katanya.
Dalam pada itu, Abdul Karim berkata SATU juga mengagihkan 50,000 botol air minuman percuma kepada lima masjid di negeri itu sebagai sebahagian daripada program tanggungjawab sosial syarikat (CSR).
Beliau berkata ia adalah tambahan kepada program air percuma RM1 juta setahun yang diberi kepada surau dan masjid berdaftar di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) seluruh negeri.
-- BERNAMA
© 2025 BERNAMA • Penafian • Dasar Privasi • Dasar Keselamatan