AM > BERITA

Bomba Pahang Tempatkan Anggota Di Tiga R&R Semasa Aidilfitri

25/03/2025 01:10 PM

KUANTAN, 25 Mac (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang menempatkan anggota dan jentera di tiga kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KL-Karak) dan Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) sempena perayaan Aidilfitri ini. 

Pengarah JBPM Pahang Mohd Razam Taja Rahim berkata penempatan itu melibatkan 33 anggota di R&R Gambang, Temerloh dan Genting Sempah bagi tujuan bersiap siaga sekiranya berlaku sebarang kecemasan di lebuh raya.

“Jika berlaku sebarang kemalangan ataupun kecemasan di lebuh raya, kita akan dapat bertindak dengan pantas untuk sampai ke lokasi kejadian. Kita akan tempatkan jentera (Fire Rescue Tender), pasukan motor dan juga pasukan medik. 

“Kiranya, ada tiga kenderaan yang akan ditempatkan di sana untuk membantu (sekiranya berlakunya kecemasan) dan cepat sampai ke lokasi,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan dan Ops Siaga Raya Aidilfitri Tahun 2025 di sini semalam.

Dalam pada itu, Mohd Razam turut menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada terhadap risiko kebakaran menjelang musim perayaan khususnya memantau anak-anak yang bermain bunga api dan mercun serta berhati-hati dalam penggunaan peralatan elektrik. 

“Untuk mengurangkan tragedi atau kebakaran rumah terutama masyarakat dinasihatkan supaya lebih peka dengan peralatan elektrik kerana kebanyakan punca kebakaran disebabkan perkakas itu sama ada dari segi pendawaian, terlupa tutup suis dan sebagainya. 

“Jadi, pastikan semua peralatan yang tidak digunakan haruslah ditutup, begitu juga dengan aktiviti memasak atau memanaskan lauk. Banyak kes (kebakaran rumah) berlaku pada waktu malam kerana terlupa (tutup api dapur),” katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan