PUTRAJAYA, 25 Mac (Bernama) -- Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2022 perlu dipatuhi sepenuhnya kerana ia mampu melindungi pekerja serta memastikan persekitaran kerja yang lebih selamat, kata Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong.
Beliau berkata Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) komited untuk memastikan akta berkenaan dipatuhi oleh majikan, sekali gus membolehkan jaminan keselamatan sosial diberikan kepada setiap pekerja di negara ini.
“Kita harus pastikan undang-undang OSH (Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan) dipatuhi, kita harus pastikan jaminan keselamatan sosial diberikan kepada pekerja kita.
“Ini supaya semua pekerja kita selepas bertungkus lumus dan mandi keringat seharian, mereka boleh pulang ke rumah masing-masing dengan selamat,” katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan KESUMA di sini hari ini.
Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2022 diluluskan Parlimen pada 16 Mac 2022 dan akta berkenaan antaranya mewajibkan majikan menganalisis risiko di tempat kerja dan melantik penyelaras keselamatan kesihatan.
Sim sebelum ini berkata akta berkenaan lebih bersifat mendidik dan bukan untuk menghukum semata-mata dan ia berperanan memastikan tahap keselamatan, sekali gus mengelakkan sebarang risiko kemalangan di tempat kerja di seluruh negara.
Dalam perkembangan lain, Sim berkata warga KESUMA menunjukkan solidariti kepada rakyat Palestin dengan membeli produk antaranya kurma dan minyak zaitun dianggarkan bernilai RM200,000 daripada negara berkenaan.
“Ini semua sumbangan warga KESUMA. Saya tahu mungkin ini adalah satu usaha yang kecil dan kerdil tetapi saya harap dengan sedikit sumbangan kita ini, ia dapat membantu para petani di Palestin,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial