AM > BERITA

Sultan Pahang, Tengku Ampuan Pahang Zahir Ucapan Selamat Hari Polis

25/03/2025 02:28 PM

KUANTAN, 25 Mac (Bernama) -- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan Selamat Hari Polis Ke-218 kepada pasukan keselamatan negara.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah bertitah di hari penuh bermakna ini, baginda berdua merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas dedikasi, pengorbanan dan komitmen yang tidak ternilai dalam memastikan keamanan dan kesejahteraan negara.

“Semoga PDRM terus maju jaya, kukuh dalam menjalankan tugas  dan sentiasa menjadi pelindung kepada rakyat. Terima kasih atas segala usaha dan sumbangan dalam menjaga keamanan negara,” menurut catatan di Facebook Kesultanan Pahang. 

Sementara itu Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengajak seluruh rakyat negeri ini untuk bersama-sama menyambut Hari Polis Ke-218 iaitu satu detik yang bermakna untuk mengenang jasa dan pengorbanan pasukan PDRM dalam menjaga keamanan serta keselamatan negara.

Beliau berkata keberanian, disiplin, serta kecekalan warga PDRM adalah tunjang kestabilan dan kesejahteraan negara dan kerana itu, adalah wajar untuk memberi sokongan dan kerjasama kepada pasukan tersebut dalam menegakkan undang-undang serta membanteras jenayah.

“Dengan penuh rasa penghargaan, saya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada seluruh warga PDRM yang sentiasa bertugas tanpa mengenal lelah, mempertahankan keadilan dan memastikan ketenteraman rakyat terpelihara.

“Semoga seluruh warga PDRM terus diberikan kekuatan dan kecekalan dalam menjalankan amanah demi keamanan negara yang kita cintai,” katanya dalam catatan di Facebook rasminya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan