KUALA LUMPUR, 25 Mac (Bernama) -- Kementerian Digital melalui Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) telah melaksanakan latihan kemahiran, libat urus dan kerjasama rentas sektor, selain pelbagai langkah produktif lain dalam pengadaptasian kecerdasan buatan (AI) di sektor awam.
Timbalan Menteri Digital Datuk Wilson Ugak Anak Kumbong berkata ia termasuk Program AI At Work 2.0 yang dilancarkan 5 Feb lepas dengan kerjasama Google Cloud yang bertujuan merevolusikan produktiviti penjawat awam dengan mengintegrasikan alat AI generatif dalam tugas harian.
Selain itu, beliau berkata bengkel ‘Train-The-Trainer’ telah diadakan pada 3 hingga 7 Mac lepas, melibatkan 250 pentadbir IT MyGOVUC dan akan terus diperluas ke setiap kementerian bagi memastikan digitalisasi sektor awam dapat dilaksanakan secara menyeluruh.
“Pendekatan ini dijangka membolehkan penjawat awam menumpukan lebih banyak masa kepada tugas strategik serta memperkukuh penyampaian perkhidmatan kepada rakyat,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Senator Datuk Mustafa Musa berhubung perkembangan terkini mengenai kerangka Program AI untuk Rakyat serta penggunaan AI dalam Penyampaian Perkhidmatan Awam Persekutuan tahun ini.
Bagi program AI Untuk Rakyat pula, Wilson Ugak berkata jumlah keseluruhan penyertaan bagi program itu adalah sebanyak 1.39 juta peserta sehingga 19 Mac.
Beliau berkata antara bidang fokus utama AI dalam perkhidmatan awam bagi 2025 adalah pembangunan bakat AI, penyediaan garis panduan AI sektor awam, penyediaan infrastruktur yang menyokong pengadaptasian AI di sektor awam serta pembangunan sistem AI.
Wilson Ugak turut memberitahu Kementerian Digital melalui Jabatan Digital Negara juga sedang giat menjalankan sesi libat urus bersama pemegang taruh bagi menerangkan mengenai Garis Panduan Pengadaptasian AI Sektor Awam yang dilancarkan pada 27 Feb lepas untuk memastikan kecekapan dan penggunaan AI yang bertanggungjawab dan beretika.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial