AM > BERITA

Penemuan Objek Berbentuk Torpedo Mengundang Sedikit Kebimbangan - Pakar Oseanografi UMT

25/03/2025 08:28 PM

Oleh MUHAMMAD FAIZAL NAZMI MOHD HARAN

KUALA TERENGGANU, 25 Mac (Bernama) -- Seorang pakar oseanografi Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menyatakan bahawa penemuan objek besi berbentuk torpedo di Pantai Seberang Takir, Kuala Nerus baru-baru ini mengundang sedikit kebimbangan terutama mengenai fungsinya.

Pakar berkenaan Prof Ts. Dr. Mohd Fadzil Mohd Akhir yang juga Pro Naib Canselor (Strategi, Prestasi dan Korporat) UMT berkata alat kajian marin berbentuk torpedo sememangnya wujud serta digunakan untuk tujuan penyelidikan oseanografi dan dikenali sebagai kenderaan dalam air berautonomi atau autonomous underwater vehicle (AUV).

AUV juga dikenali sebagai kenderaan dalam air tanpa pemandu atau unmanned underwater vehicle (UUV) iaitu dron dasar laut dan alat itu dipercayai mempunyai dwikegunaan iaitu untuk tujuan penyelidikan marin dan juga ketenteraan.

"AUV adalah teknologi yang dibangunkan sejak pertengahan tahun 2000 dan sekarang ia sangat banyak digunakan serta sudah menjadi trend kerana memudahkan pengumpulan data. Kalau dulu kena naik bot dan turun ke laut untuk kumpul data namun kini dengan AUV kita boleh kawal dari jauh seperti dron.

"Cuma ada satu benda yang besar yang menjadi kebimbangan dalam dunia sains oseanografi iaitu penggunaan alat ini menerobos ke perairan negara lain. Sebab sebahagian besar alat-alat yang ditemui sebelum ini datangnya dari pelbagai negara,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini. 

Mohd Fadzil turut mengesahkan bahawa objek besi berbentuk torpedo yang ditemui orang awam di Pantai Seberang Takir itu bukan milik UMT.

Ahad lepas, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam kira-kira 7.30 pagi yang memaklumkan penemuan objek berbentuk seakan peluru berpandu sepanjang 2.7 meter.

Pemeriksaan unit pemusnah bom di lokasi mendapati objek seberat 70 kilogram (kg) berbentuk torpedo yang mempunyai banyak pendawaian itu bukanlah bom seperti disangka dan hasil ujian juga mendapati objek itu bebas bahan radiasi berbahaya.

"Sebaliknya ia adalah alat kajian marin yang dianggar bernilai RM1 juta," katanya ketika ditemui sambil menambah polis sedang mengesan pemilik objek tersebut yang dipercayai dihanyutkan ombak Monsun Timur Laut (MTL).

Mohd Fadzil berkata sama ada peralatan itu secara sengaja dibawa masuk bagi mengumpul data atau dihanyutkan ombak juga sukar untuk dipastikan, namun dengan lambakan penemuan serupa termasuk di beberapa negara jiran sebelum ini, ia memberi signal tentang wujudnya kebimbangan yang berasas.

Pada 30 Dis tahun lepas, seorang nelayan di perairan San Pascual, Masbate di Filipina menemukan objek sama berwarna kuning sepanjang kira-kira dua meter dengan tanda 'HY-119’ dan 'HY-L0119’ pada badannya.

Objek berkenaan dipercayai AUV milik negara asing yang kemudiannya diserahkan kepada Polis Kebangsaan Filipina (PNP) dan Tentera Laut Filipina untuk tindakan lanjut.

“Berdasarkan hasil penyelidikan sumber terbuka di Internet…HY-119 merujuk kepada sistem navigasi dan komunikasi bawah laut. Objek ini dilengkapi dengan antena dan lensa yang berfungsi untuk tujuan visual. Berdasarkan maklumat yang diperoleh, ia berkemungkinan digunakan bagi tujuan pemantauan dan peninjauan,” kata Pengarah Polis Wilayah Bicol Brigedier Jeneral Andre Dizon kepada media tempatan Filipina. 

Selain di Filipina, beberapa siri penemuan AUV turut direkodkan berlaku di Indonesia iaitu pada Januari, Mac dan Disember 2020 serta Januari 2021 yang dilaporkan menyerupai reka bentuk model 'Sea Wing’ yang digunakan untuk pemetaan dasar laut dan mempunyai tulisan Cina yang pudar.

Media Indonesia dan Filipina melaporkan kebimbangan pihak berkuasa tempatan mengenai potensi penggunaan AUV tersebut untuk tujuan ketenteraan termasuk pemetaan dasar laut dan pengumpulan data untuk tujuan perisikan.

Pemetaan dasar laut dikatakan dilakukan oleh pihak ketenteraan menggunakan AUV antaranya untuk mengenal pasti laluan kapal selam. 

"Ia perlu diberi perhatian terutama kalau alat itu (AUV) datang dari negara-negara tertentu. Ini yang kita jumpa, yang kita tak nampak mungkin lagi banyak yang sedang berlegar dan itu yang kita tidak mampu kawal setakat ini,” kata Mohd Fadzil mengenai AUV yang juga digelar ocean gliders.

-- BERNAMA

   

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan