AM > BERITA

Tiada Sekatan Perjalanan Baharu Dikenakan Ke Atas Rakyat Malaysia - Kementerian Luar

25/03/2025 07:11 PM

PUTRAJAYA, 25 Mac (Bernama) -- Kementerian Luar berkata pada Selasa bahawa tiada sekatan visa baharu dikenakan ke atas rakyat Malaysia yang melakukan perjalanan ke luar negara.

Dalam satu kenyataan, kementerian itu berkata dakwaan berhubung perkara berkenaan yang tular menerusi sebuah video di platform perkongsian video, adalah tidak benar. Video berkenaan secara mengelirukan  mendakwa lapan negara telah memperkenalkan keperluan visa baharu untuk rakyat Malaysia baru-baru ini.

"Kementerian mengesahkan bahawa dakwaan ini sama sekali tidak benar. Pada masa ini, tiada perubahan dalam dasar visa yang memberi kesan kepada rakyat Malaysia di negara-negara yang disebutkan," menurut kenyataan itu.

Kementerian Luar telah membuat laporan polis mengenai isu berkenaan dan merujuk video berkenaan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk tindakan lanjut mengikut undang-undang serta peraturan sedia ada.

Sehubungan itu, kementerian menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih dan sentiasa merujuk sumber rasmi bagi mendapatkan maklumat perjalanan yang tepat dan terkini. Kementerian turut menegaskan komitmennya dalam memastikan rakyat Malaysia sentiasa mendapat maklumat yang betul serta dilindungi semasa berada di luar negara.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan