KUALA LUMPUR, 25 Mac (Bernama) -- Polis digesa menjalankan siasatan segera terhadap satu video tular mengenai seorang jurujual wanita berketurunan Dayak yang didakwa diugut dan dimaki seorang lelaki, termasuk melibatkan perkataan berbaur perkauman dalam insiden di Central i-City Shah Alam baru-baru ini.
Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata tindakan sewajarnya harus dikenakan kepada pelaku, sambil menyifatkan perbuatan berbaur perkauman dan tidak bertamadun, malah bertentangan dengan prinsip Rukun Negara itu harus ditangani secara serius.
"Insiden seperti ini tidak sepatutnya wujud dalam masyarakat berbilang bangsa dan agama di negara ini. Setiap individu berhak untuk dihormati tanpa mengira latar belakang etnik, agama, atau status sosial mereka.
"Kementerian Perpaduan Negara tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk penghinaan terhadap mana-mana kaum di negara ini," katanya dalam kenyataan hari ini.
Aaron turut mengingatkan kepada semua rakyat Malaysia agar terus menjaga keharmonian dan perpaduan negara dengan saling hormat-menghormati dan memahami antara satu sama lain.
Terdahulu, tular menerusi aplikasi TikTok rakaman video berserta kapsyen yang mendakwa seorang jurujual wanita berketurunan Dayak, diugut dan dimaki pelanggannya termasuk berbaur perkauman, dipercayai berpunca daripada perselisihan faham dalam transaksi jual beli.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial