AM > BERITA

Populasi Penyu Agar Kian Terancam, Kesan Domino Tingkat Kadar Kematian Penyu Jantan

26/03/2025 10:15 AM

KUALA TERENGGANU, 26 Mac (Bernama) -- Sebanyak 20 kes kematian penyu spesies agar direkodkan Jabatan Perikanan Terengganu antara Januari hingga Mac tahun ini, sekali gus menunjukkan situasi itu berada pada tahap sangat membimbangkan. 

Pengurus Projek Pemuliharaan Penyu di Pantai Chakar Hutan, Kemaman dari Persatuan Pemuliharaan dan Kajian Marin Malaysia (PULIHARA) Wan Zuriana Wan Sulaiman berkata tiga bangkai penyu agar jantan dijumpai terdampar di pesisiran pantai berkenaan dalam tempoh kurang 31 jam, dan seekor daripada penyu itu mempunyai kesan luka dipercayai tersangkut pada pukat pari milik nelayan.

Beliau berkata kekurangan penyu jantan tidak boleh dipandang enteng kerana ia antara faktor utama ancaman kepada kelangsungan populasi penyu. 

“Keadaan ini akan menyebabkan proses persenyawaan rendah dalam kalangan penyu betina dan tanpa proses  itu, penyu betina yang memiliki telur matang tetap akan naik ke darat untuk bertelur, namun hanya menghasilkan telur yang tiada perkembangan untuk menetas ataupun dikenali sebagai undeveloped eggs.

“Inilah yang berlaku pada penyu belimbing di Rantau Abang, Dungun yang diisytiharkan pupus secara fungsi pada 2008. Ketiadaan penyu belimbing jantan yang subur atau matang pulang ke lokaliti asal mereka untuk proses mengawan telah menjejaskan proses persenyawaan telur penyu belimbing betina,” katanya kepada Bernama baru-baru ini. 

Wan Zuriana berkata masih ada penyu belimbing di tempat lain tetapi penyu itu hanya akan kembali ke tempat mereka dilepaskan ke laut suatu masa dahulu, manakala penyu dari kawasan lain tidak akan datang ke Rantau Abang kerana bukan lokaliti mereka.

Beliau berkata tatkala pelbagai usaha konservasi dilakukan bagi memastikan kelangsungan populasi penyu spesies agar, namun situasi sebaliknya pula yang berlaku apabila angka kematian menunjukkan peningkatan, dengan sembilan kes direkodkan pada Mac berbanding lima (Februari) dan enam (Januari).

“Situasi kali ini jauh berbeza pada tahun sebelumnya yang hanya mencatatkan lima kematian reptilia itu bagi tempoh lima bulan, sekali gus bagaikan memberi satu ‘isyarat jelas’ bahawa populasi penyu agar kian terancam, apatah lagi kebanyakan yang mati itu penyu jantan. 

“Tambah membimbangkan, cuaca panas yang dialami di seluruh negara ketika ini turut memberi impak kepada kemandirian penyu apabila mengakibatkan penghasilan induk jantan yang rendah setelah persenyawaan berlaku melalui telur yang ditetaskan di kebanyakan pusat konservasi hidupan marin itu,” katanya.

Wan Zuriana berkata langkah konservasi penyu agar tidak boleh diambil mudah bagi mengelak episod kepupusan penyu belimbing turut berlaku kepada penyu spesies lain, terutama ketiadaan reptilia itu di lautan berisiko menjejaskan keseimbangan ekosistem laut dan sekuriti makanan.

Beliau berkata kesan domino yang berlaku susulan kepupusan penyu belimbing menyebabkan  peningkatan populasi ubur-ubur yang berisiko merencatkan pertumbuhan dan pembiakan ikan pada masa akan datang, sekali gus menjejaskan jumlah ikan untuk sekuriti makanan negara. 

“Apabila tiada pemangsa puncak atau apex predator (penyu belimbing), ubur-ubur semakin membiak dan peningkatan suhu global mempercepatkan lagi pembiakannya. Keadaan ini tentunya akan memberi kesan kepada sekuriti makanan untuk manusia.

“Selain itu, peningkatan ubur-ubur akan mengganggu industri pelancongan negara terutamanya di kawasan pulau yang mungkin terpaksa ditutup sementara. Contohnya, kes penemuan ubur-ubur api atau Portuguese Man O War di beberapa pulau di Terengganu yang berisiko membawa maut,” katanya.

Justeru, PULIHARA bertekad untuk memastikan kelangsungan khazanah marin penyu agar di Pantai Chakar Hutan tidak berdepan nasib sama sepertimana penyu belimbing, dan antara tindakan adalah dengan melakukan rondaan di sepanjang 1.4 kilometer pesisir pantai berkenaan. 

Wan Zuriana berkata rondaan itu bertujuan mencari penyu agar betina yang mendarat di pesisir pantai untuk bertelur sebelum memindahkannya ke pusat penetasan, selain itu pihaknya turut membuat program pendidikan luar melibatkan pelajar sekolah dan komuniti setempat.

Beliau berkata program itu mendidik orang ramai mengenai kepentingan untuk memastikan kelangsungan populasi khazanah marin yang menjadi ikon penting Terengganu berkenaan kerana tahap kesedaran pemuliharaan penyu masih lagi rendah dalam kalangan masyarakat.

“Masih ramai tidak boleh kaitkan kenapa penting menjaga penyu, apa akan terjadi sekiranya penyu pupus. Kami juga ingin tekankan agar menghentikan penjualan atau makan telur penyu kerana ini semua akan mempercepatkan lagi kepupusan penyu kita. 

“Pada masa sama, kami harapkan kerjasama semua pihak terutamanya nelayan untuk tidak menggunakan pukat pari dan pukat tunda kerana ia berbahaya kepada penyu,” katanya.

Wan Zuriana berkata PULIHARA turut memantau penyu agar dan penyu karah yang kini tersenarai sebagai sangat terancam di Pulau Lang Tengah dan Pantai Tanjung Jara, Dungun.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan