AM > BERITA

Seramai 5.4 Juta Bakal Menerima Bantuan SARA Mulai 1 April

26/03/2025 03:33 PM

KUALA LUMPUR, 26 Mac (Bernama) -- Kerajaan MADANI mengumumkan peluasan pelaksanaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada 5.4 juta penerima bermula 1 April, meningkat hampir lapan kali ganda berbanding 700,000 penerima sedia ada.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan hari ini memaklumkan penerima yang layak akan menerima bantuan sehingga RM2,100, meningkat sebanyak 75 peratus berbanding RM1,200 pada 2024.

“SARA merupakan pendekatan bantuan secara bersasar, dengan sebahagian pertambahan hasil negara serta penjimatan daripada perbelanjaan subsidi diagihkan semula bagi membantu mereka yang benar-benar memerlukan.

“Penyaluran SARA melalui MyKad juga bersasar kerana kaedah tersebut memastikan golongan sasar menerima manfaatnya dalam bentuk barangan asas,” kata Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataan sama.

Beliau berkata peluasan ini adalah sebahagian daripada peningkatan peruntukan program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA kepada RM13 bilion pada tahun ini, jumlah tertinggi dalam sejarah penyaluran bantuan tunai kerajaan kepada rakyat.

Sementara itu, 4.7 juta penerima STR yang tidak tersenarai dalam eKasih akan menerima bantuan baharu SARA RM50 sebulan bagi warga emas tiada pasangan dan RM100 sebulan untuk isi rumah bermula 1 April ini.

Mulai tahun ini penyaluran SARA melalui MyKad akan diperluaskan ke Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan setelah sebelum ini hanya melibatkan negeri-negeri di Semenanjung Malaysia pada 2024.

"Kaedah pelaksanaan yang seragam ini adalah penambahbaikan daripada tahun lepas, berbanding penyaluran bantuan secara tunai dua kali setahun kepada penerima SARA yang bermastautin di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan," menurut kenyataan itu.

Di bawah program SARA, penerima boleh membeli barangan keperluan asas terpilih dengan menggunakan MyKad di kedai-kedai runcit berdaftar yang kini berjumlah lebih 3,500 buah di seluruh negara, berbanding 700 buah pada 2024.

Selain makanan asas, kredit SARA juga boleh digunakan untuk membeli barangan kebersihan diri, ubat-ubatan serta peralatan persekolahan.

Maklumat lanjut mengenai pelaksanaan SARA boleh didapati melalui portal rasmi STR di https://bantuantunai.hasil.gov.my dan portal MyKasih di https://www.mykasih.com.my.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan