AM > BERITA

Bertugas Di Aidilfitri Bukan Beban, Tapi Tanggungjawab

26/03/2025 03:31 PM

JOHOR BAHRU, 26 Mac (Bernama) -- Berbaki beberapa hari lagi umat Islam di seluruh dunia akan menyambut Hari Raya Aidilfitri tanda kemenangan selepas sebulan berpuasa sepanjang Ramadan.

Semasa ramai mengambil cuti untuk meraikan hari raya, terdapat juga mereka yang bekerja ketika Aidilfitri, namun kebanyakan yang terlibat tidak menganggapnya sebagai beban, sebaliknya ia sebagai tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. 

Pemandu Lori Kompaktor (Unit Sisa Pepejal) SWM Environment cawangan Johor Bahru Mohd Hafiz Idris, 51, menyifatkan bertugas di hari raya juga satu ibadah kerana membantu menjaga kebersihan selari dengan ajaran Islam yang menitikberatkan aspek itu.

Bapa kepada tiga anak yang menyertai SWM Environment pada 2023 berkata, tanggungjawab dan rasa bangga dengan tugasan dilakukan, selain kebaikan penduduk setempat, memudahkan dirinya menyesuaikan diri bertugas pada 1 Syawal. 

"Hari raya pertama nanti saya bersama anggota Unit Sisa Pepejal (USP) lain akan menguruskan kutipan sisa pepejal dari 500 premis di kawasan Kampung Melayu Majidee termasuk pasar awam dan kebetulan saya sendiri anak jati kampung itu. 

"Pengalaman manis ketika kali pertama bertugas pada 1 Syawal tahun lepas ialah menerima kuih raya dan minuman daripada penduduk. Tidak ketinggalan ada juga memberikan duit raya, membuatkan kami rasa dihargai," katanya.

Turut berkongsi pengalaman ialah penerbit rancangan dan wartawan penyiaran Radio Televisyen Malaysia (RTM) Norazizah Drahman, 51, yang menyifatkan perkongsian berita serta maklumat kepada masyarakat memberi kepuasan kepada dirinya, menyebabkan beliau mudah bekerja pada hari raya.

Walaupun sedih tidak dapat pulang meraikan Aidilfitri di kampung halaman, perantau dari Kuching, Sarawak itu tidak mahu menjadikan perkara tersebut sebagai penghalang untuk memberi komitmen terhadap tugasan.

Raya tahun ini juga berbeza buat wanita yang telah 32 tahun berkhidmat di RTM, memandangkan ibunya telah meninggal dunia tahun lepas. 

"Tahun ini giliran saya bertugas dan sedikit sebanyak ada perasaan sedih kerana tentu kita hendak beraya dengan keluarga di kampung halaman terutamanya ada anak yang berada di Sarawak, tetapi saya perlu mendahulukan tugas sebab tahun lepas sudah bercuti raya. 

"Kerja waktu raya tidak menjadi masalah bagi saya. Mungkin nanti boleh buat panggilan video dengan adik-beradik dan anak-anak. Bila bekerja di hari raya, selalunya selepas tugasan, kita akan berkumpul bersama kawan sekerja, jadi tetap meriah," kata ibu kepada lapan anak itu. 

Norazizah juga percaya petugas media yang bertugas pada hari raya tetap merasai kemeriahan Aidilfitri walaupun tidak berada di kampung halaman kerana pekerjaan itu menjadikan mereka sentiasa bersedia tanpa mengira masa untuk berkhidmat menyampaikan berita. 

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan