SHAH ALAM, 26 (Bernama) -- Kira-kira 76,000 ekor babi yang dijangkiti penyakit Demam Babi Afrika (ASF) di 57 ladang di sekitar Kuala Langat dan Sepang telah selesai dilupuskan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Selangor pada minggu lepas.
Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor Datuk Izham Hashim berkata kerja melupuskan ternakan terbabit juga selesai dilaksanakan lebih awal dari tarikh jangkaan, iaitu pada 31 Mac ini.
“Semua ladang babi di dua daerah itu ada 115 termasuk satu ladang haram. DVS telah membuat siasatan ke semua tapak berkenaan dan sebanyak 57 ladang dikesan positif ASF manakala bakinya negatif,” katanya pada sidang media di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor di sini hari ini.
Dalam pada itu, Izham berkata sebanyak 68 ekor babi serta 9,405.7 kilogram karkas babi telah disita DVS Selangor atas pelbagai kesalahan antaranya memindahkan dan membawa keluar haiwan itu dari ladang.
Beliau berkata tujuh kertas siasatan di bawah Seksyen 34 dan Seksyen 36 Akta Binatang 1953 telah dibuka dan akan dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat untuk tindakan lanjut.
Izham berkata pihaknya juga telah menyediakan kertas dasar berhubung pengurusan ladang haiwan berkenaan yang kini dalam proses mendapatkan kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), antara lain bagi mengelakkan insiden yang sama berlaku pada masa hadapan.
Dalam perkembangan lain, Izham yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pandan Indah berkata sebanyak 700 ekor lembu dan 1,000 ekor kambing akan diagihkan bersempena dengan Program Sumbangan Korban Negeri Selangor (PSKNS) 2025 bagi sambutan Aidiladha nanti dengan peruntukan berjumlah RM6 juta.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial