KUALA LUMPUR, 26 Mac (Bernama) -- Peluasan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada 5.4 juta penerima yang bermula 1 April memberikan kelegaan kepada golongan B40.
Beberapa penerima menyifatkan langkah tersebut amat membantu mereka dalam mengimbangi kehidupan dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.
Bantuan SARA, yang sebelum ini disalurkan dua kali setahun melalui pemberian wang tunai untuk membeli barangan keperluan asas, kini dikreditkan secara bulanan ke dalam MyKad penerima dan boleh digunakan sehingga 31 Disember ini.
Di SELANGOR, ibu tunggal Kamsiah Mat Ali, 58, berkata peningkatan jumlah bantuan SARA memberikan kelegaan baginya yang menyara dua anak berusia 22 dan 20 tahun yang kini sedang menuntut di institusi pengajian tinggi.
“Tahun ini adalah tahun kedua saya menerima bantuan SARA ini. Saya memanfaatkan bantuan ini untuk membeli barangan kering seperti sardin, beras, sabun mandi, dan ubat gigi.
“Bila dah meningkat jumlah bantuan, banyak lagilah barangan keperluan yang boleh dibeli. Jadi, duit yang sedia ada boleh dijimatkan dan digunakan untuk keperluan mendesak lain serta untuk anak-anak yang sedang belajar," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Di KEDAH, Osman Saad, 44, dari Ayer Hitam, Jerlun, yang bekerja sendiri, berkata penambahan sumbangan itu jelas menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap beban kos sara hidup yang semakin meningkat pada masa ini.
“Ia sangat membantu dan amat melegakan saya kerana saya hanya bekerja kampung dan berpendapatan sederhana," katanya.
Pekerja kedai makan, Nor Asmawati Shamsudin, 32, dari Gurun, turut menzahirkan rasa syukur dengan penambahan jumlah SARA yang sedikit sebanyak dapat membantu menampung perbelanjaan keperluan harian keluarganya.
"Mungkin bagi sesetengah pihak, jumlahnya tidaklah besar mana tetapi bagi kami yang menerima bantuan ini, ia sangat membantu, dan kami berterima kasih kepada kerajaan," katanya.
Kementerian Kewangan dalam kenyataan hari ini memaklumkan penerima yang layak akan menerima bantuan sehingga RM2,100, meningkat sebanyak 75 peratus berbanding RM1,200 pada 2024.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata SARA merupakan pendekatan bantuan secara bersasar dengan sebahagian pertambahan hasil negara serta penjimatan daripada perbelanjaan subsidi diagihkan semula bagi membantu mereka yang benar-benar memerlukan.
Menteri Kewangan itu berkata, penyaluran SARA melalui MyKad juga bersasar kerana kaedah tersebut memastikan golongan sasar menerima manfaatnya dalam bentuk barangan asas.
Sementara itu, di SARAWAK, Felo Akademi Sains Malaysia, Prof Datuk Dr Jayum Jawan berkata penyaluran SARA melalui penggunaan MyKad adalah langkah tepat bagi memastikan ia tidak disalah guna oleh penerima.
“Pembayaran melalui MyKad berbanding secara tunai akan dapat memastikan wang tersebut betul-betul digunakan untuk tujuan pembelian barangan keperluan asas serta makanan,” katanya.
Beliau berkata SARA juga menunjukkan Kerajaan Persekutuan prihatin terhadap kesukaran hidup rakyat khususnya golongan B40 kerana kenaikan kos sara hidup masa kini.
Di bawah program SARA, pemanfaat boleh membeli barangan keperluan asas terpilih dengan menggunakan MyKad di kedai-kedai runcit berdaftar yang kini berjumlah lebih 1,200 buah di seluruh negara, berbanding 700 buah pada tahun 2024.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial