IPOH, 27 Mac (Bernama) -- Pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang bermula Isnin bukan sahaja memberikan kelegaan kepada penerimanya, tetapi turut menyemarakkan kegembiraan mereka apabila dapat membeli kelengkapan bagi menyambut Aidilfitri yang bakal tiba minggu depan.
Suri rumah Nurul Fadzilawati Kamaruddin, 35, dari Gopeng ketika ditemui Bernama berkata bayaran STR sebanyak RM500, beliau belanjakan untuk membeli kelengkapan hari raya keluarganya, termasuk baju dan kasut baharu untuk tiga cahaya mata berusia lapan hingga 13 tahun.
“Saya dan suami memperuntukkan kira-kira RM1,000 untuk membeli baju Melayu dan baju kurung serta kasut baharu untuk anak-anak,” katanya yang ditemui ketika sedang membeli baju raya di sebuah pasar raya di sini hari ini.
Nurul Fadzilawati berkata suaminya Nor Hazman Ibrahim, 42, yang bekerja sebagai mekanik turut menambah RM500 lagi, bagi melengkapkan keperluan raya mereka sekeluarga.
Seorang lagi penerima STR Nor Hanis Hashim, 34, dari Kampar yang turut memanfaatkan bantuan tersebut bagi melengkapkan keperluan raya mereka sekeluarga.
“STR ini sangat membantu dan beri kelegaan terutama untuk sediakan baju raya untuk anak-anak. Saya beli setiap seorang dapat sekurang-kurangnya sepasang baju Melayu atau baju kurung, dan kami cari pakaian yang menawarkan harga promosi,” katanya yang mempunyai empat anak berusia sebulan hingga 16 tahun.
Kerajaan mula menyalurkan pembayaran STR Fasa Dua sejak Isnin melibatkan peruntukan RM1.7 bilion berbanding RM1.5 bilion pada tahun lepas.
Kementerian Kewangan memaklumkan hampir sembilan juta penerima terdiri daripada 60 peratus rakyat dewasa Malaysia mendapat bantuan sehingga RM650, mengikut kategori kelayakan masing-masing.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial