AM > BERITA

Jualan Khas Semarak Syawal FAMA Perlis Tawar Barangan Keperluan Pada Harga Rendah

27/03/2025 03:53 PM

ARAU, 27 Mac (Bernama) -- Jualan Khas Semarak Syawal 2025 anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perlis, menawarkan barangan keperluan pada harga rendah antara 10 hingga 30 peratus berbanding pasaran untuk pengguna di negeri itu mendapatkan bekalan bagi persediaan sambutan Aidilfitri.

 Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Kepenggunaan Perlis Razali Saad berkata jualan khas yang berlangsung di Pasar Tani Kekal Simpang Empat dekat sini hari ini, menyediakan 9.6 tan metrik daging lembu tempatan, ayam, ikan dan hasil laut, sayur dan buah-buahan serta beras putih tempatan.

“Pada program jualan khas ini juga pihak FAMA turut menganjurkan Jualan Happy Hour Kombo MADANI yang ada seekor ayam, sawi, beras pulut 1kilogram (kg) dan minyak masak 1kg.

“Harga asal set Kombo MADANI itu RM28 tetapi ada potongan RM5, jadinya tinggal RM23 (dibayar pembeli). Inilah langkah yang kerajaan dapat membantu masyarakat menampung kos sara hidup,” katanya kepada pemberita pada jualan khas itu di Pasar Tani Kekal Simpang Empat, dekat sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah FAMA Perlis Mohd Anzara Azizan berkata pihaknya akan menganjurkan jualan khas itu sekali lagi di pasar tani kekal tersebut pada Sabtu ini, dalam usaha membantu pengguna sekali gus memperlihatkan ketersediaan bekalan makanan untuk musim perayaan.

“Untuk penganjuran jualan khas hari ini lebih kurang 50 peniaga terlibat dan hari Sabtu ini kalau masih lagi yang sama dengan (jumlah) pengunjung dan mungkin ada pertambahan lagi,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan