KUALA LUMPUR, 27 Mac (Bernama) -- Kajian Trend Pembeli Raya 2025 Shopee Malaysia mendapati bahawa pengguna di negara ini berbelanja lebih awal berbanding sebelumnya, dengan 98 peratus pembeli mula membeli keperluan raya seawal suku keempat 2024.
Ketua Pemasaran dan Pengurusan Data Shopee Malaysia Tan Ming Kit berkata trend ini mencerminkan kecenderungan semakin ramai pengguna merancang lebih awal bagi memanfaatkan jualan dan promosi hujung tahun bagi memaksimumkan penjimatan.
Beliau berkata kajian melibatkan 1,500 pengguna Shopee yang dijalankan antara 20 Feb hingga 12 Mac lepas, turut menunjukkan kesedaran tinggi terhadap belanjawan dengan 70 peratus pembeli mengekalkan perbelanjaan raya mereka di bawah RM500.
Separuh daripada kumpulan itu memperuntukkan antara RM300 hingga RM500, dengan perbelanjaan lebih tinggi tertumpu kepada pembelian secara pukal untuk perjumpaan keluarga, pemberian hadiah dan naik taraf rumah, yang mencerminkan saiz keluarga, tanggungjawab sebagai tuan rumah dan tradisi budaya mempengaruhi tabiat perbelanjaan.
"Ketika rakyat Malaysia semakin mengamalkan tabiat membeli-belah barangan raya dengan lebih bijak, merancang lebih awal, sambil memaksimumkan nilai, Shopee terus membentuk persekitaran beli-belah yang lebih mudah dan dipercayai," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata ekosistem beli-belah selamat Shopee termasuk pilihan pembayaran fleksibel, Jaminan Shopee dan Shopee Mall terus menjadi faktor utama kepercayaan pengguna, dengan 75 peratus responden menyatakan keyakinan terhadap keupayaan platform dalam menyediakan transaksi yang selamat dan boleh dipercayai.
Sementara itu, baki 25 peratus lagi menekankan kepelbagai produk, kemudahan membeli-belah dan pandangan komuniti, dengan ramai bergantung pada penilaian penjualan, cadangan rakan pembeli dan program pemasaran afiliasi Shopee dalam membuat keputusan pembelian.
Kajian berkenaan turut mendedahkan kandungan interaktif dan secara langsung seperti Shopee Live dan Shopee Video menjadi pilihan pengguna untuk meneroka tawaran raya dengan empat daripada lima rakyat Malaysia memilih untuk menonton platform berkenaan kerana dapat melihat produk secara langsung, mendapatkan tawaran eksklusif serta menerima jawapan segera terhadap pertanyaan mereka.
"Sebanyak 70 peratus pembeli memilih produk fesyen dan kecantikan, merangkumi pakaian tradisional, pakaian Muslimah, kasut, aksesori, alat solek dan keperluan penjagaan kulit.
"Selain fesyen, 20 peratus lagi pembeli mengutamakan barangan rumah, makanan perayaan dan hamper hadiah, mencerminkan persediaan untuk menerima tetamu serta amalan pemberian hadiah dalam budaya tempatan," menurut kenyataan itu.
Kajian Shopee itu juga mendapati penjual yang dipercayai, pilihan pembayaran fleksibel, serta penjimatan menyeluruh di platform memainkan peranan utama dalam membantu pengguna membuat pembelian lebih bijak.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial