KUALA LUMPUR, 27 Mac (Bernama) -- Pembayaran fasa kedua Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang mula disalurkan Isnin lepas, bukan sahaja membantu rakyat menghadapi cabaran kos sara hidup tetapi juga meringankan beban kewangan mereka yang ingin pulang ke kampung sempena Aidilfitri.
Mohamed 'Izzat Iman Firdauz, 25, yang bekerja sebagai barista di sebuah kafe berkata selain berasa lega dapat menyediakan keperluan raya, bantuan STR itu juga digunakan bagi menampung kos petrol untuk pulang ke kampung.
"Selain membeli keperluan raya saya juga perlu memastikan ada cukup wang untuk minyak kereta balik kampung. Jadi, saya harus bijak uruskan kewangan," kata anak kelahiran Pulau Mutiara itu.
Turut berkongsi kelegaan, Norriati Mohd Sharip, 52, seorang ibu tunggal kepada tujuh anak yang menggunakan sebahagian bantuan STR diterima sebelum ini sebagai modal perniagaan di bazar Ramadan dan bantuan diterima kali ini pula untuk perbelanjaan raya serta kos perjalanan pulang ke kampung.
"Alhamdulillah, STR sangat membantu. Selain modal berniaga, raya kali ini dapat juga beli baju untuk anak-anak dan boleh guna untuk isi minyak kereta balik kampung nanti," katanya yang merancang untuk balik beraya di Kuala Kurau, Perak.
Bagi pembantu kedai makan, Mohammad Afiq Khairul Niza, 27, bantuan STR datang tepat pada waktu untuk membiayai kos baik pulih motorsikal, satu-satunya pengangkutan untuk dia pulang beraya.
"Bulan ini memang betul-betul sesak (tak cukup duit) dah nak dekat raya motorsikal pula rosak. Jadi, bila STR masuk lega sangat saya terus pergi bengkel baiki motor dan selebihnya tampung duit minyak untuk balik kampung serta beli baju raya," katanya yang akan pulang ke Pulau Pinang.
Kerajaan mula menyalurkan pembayaran STR Fasa dua bermula 24 Mac melibatkan peruntukan RM1.7 bilion berbanding RM1.5 bilion pada tahun lepas.
Kementerian Kewangan memaklumkan hampir sembilan juta penerima terdiri daripada 60 peratus rakyat dewasa Malaysia mendapat bantuan hingga RM650, mengikut kategori kelayakan masing-masing.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial