KUALA KRAI, 27 Mac (Bernama) -- Aliran trafik di beberapa jalan utama Persekutuan membabitkan jajahan Kuala Krai dan Gua Musang dilaporkan bergerak perlahan setakat 9 malam ini, susulan orang ramai mula pulang untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai Supt Mazlan Mamat berkata walaupun bergerak perlahan tetapi aliran trafik masih lagi terkawal kerana Jabatan Kerja Raya (JKR) telah mula mengaktifkan 'amber light' atau lampu kuning di beberapa lampu isyarat seperti Peladang dan Daskoh.
"Namun begitu pengguna masih lagi berhati-hati ketika melalui persimpangan lampu isyarat di Guchil hingga ke simpang Sungai Durian," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo pula berkata pihaknya menjangkakan peningkatan kenderaan berlaku pada tengah malam ini sehingga esok.
"Apabila banyak kenderaan kita akan buat penarikan trafik di lokasi berkenaan sebagai contoh, petang tadi kita buat di sekitar Bandar Gua Musang sepanjang lima kilometer kerana kesesakan berlaku kira-kira 10 hingga 15 minit," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial