Oleh Nursyabiha Sukri
REMBAU, 28 Mac (Bernama) -- Setelah hampir sedekad berkhidmat sebagai ahli terapi urut skuad bola sepak kebangsaan, Mohd Zaidi Abdul Latib, 57, mengambil langkah berani menceburi bidang perniagaan dengan menjual kuih bakar berasaskan resipi tradisi yang unik.
Menggunakan ramuan turun-temurun ibunya, kuih bakar yang dipanggang dengan sabut kelapa dan arang kayu di kedainya di Kampung Semin, di sini, bukan sahaja enak tetapi turut mengekalkan aroma asli yang semakin sukar didapati.
Mohd Zaidi bersyukur kerana hasil simpanan sepanjang berkhidmat bersama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dari 2007 hingga 2016 membolehkannya kembali ke kampung halaman untuk mengusahakan perniagaan Makwe’ Kuih Bakar, dibantu isterinya, Nur Aisha Lexty, 51.
"Dahulu, ibu hanya menerima tempahan dari surau, masjid, orang kampung dan kenduri tanpa menjualnya secara komersial. Setelah bersara daripada bidang sukan, saya mula meneroka bidang perniagaan dan mendapati kuih bakar asli yang dimasak secara tradisional semakin sukar ditemui.
"Saya telah berniaga di sini hampir enam tahun. Dalam pembuatan kuih bakar, pemilihan santan amat penting bagi mendapatkan rasa premium dan lemak berkrim, manakala kawalan api memerlukan teknik yang betul," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Mohd Zaidi berkata penggunaan telur berkualiti tinggi penting dalam menghasilkan kuih bakar yang enak, selain memastikan produknya memiliki sijil halal bagi meningkatkan keyakinan pelanggan.
Walaupun kos bahan mentah semakin meningkat, beliau tetap mengekalkan kualiti kuih bakarnya dengan harga berpatutan, iaitu RM9 sekeping, manakala kuih bakar berlauk daging dijual pada harga RM10.
"Saya menjual hampir 100 biji setiap hari, terutamanya menjelang hujung minggu. Kami juga mempunyai pelanggan tetap dari Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Johor," katanya yang turut menjual kuih bahulu, tart nanas, tart nanas kerang, semperit dan bangkit kelapa pada harga antara RM18 hingga RM23.
Bapa kepada enam anak itu bersyukur kerana walaupun telah lama meninggalkan bidang sukan, perniagaannya tetap mendapat sokongan daripada beberapa bekas pemain kebangsaan yang sering datang membeli produknya.
Menyingkap pengalaman bersama skuad kebangsaan, Mohd Zaidi berkata beliau berpeluang menjelajah hampir 30 negara dan menyaksikan kejayaan skuad negara di bawah bimbingan ketua jurulatih seperti Datuk K. Rajagopal dan Datuk Dollah Salleh, yang disifatkannya sebagai kenangan paling berharga.
"Terlalu banyak kenangan manis bersama skuad kebangsaan, antaranya kejayaan memenangi Piala AFF Suzuki 2010 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta. Menyaksikan kejayaan pemain di depan mata sendiri adalah sesuatu yang sangat membanggakan," katanya yang masih menyimpan keratan akhbar mengenai kejayaan pasukan negara.
Mohd Zaidi berkata kejayaan bahawa kejayaan bukan hanya bergantung pada pengalaman masa lalu, sebaliknya setiap bidang baharu memerlukan keberanian dan kesungguhan tinggi, walaupun bermula dengan perniagaan kecil-kecilan.
"Seronok dapat kembali ke kampung halaman. Di sini lebih tenang dan saya dapat dekat dengan ibu yang kini berusia 81 tahun. Alhamdulillah, ibu masih sihat, kadang-kadang dia singgah melihat saya dan cucunya membuat kuih untuk berniaga," katanya, sambil berkongsi hasratnya untuk membuka sebuah kafe pada masa akan datang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial