KUALA KANGSAR, 28 Mac (Bernama) -- Seorang wanita sanggup menempuh perjalanan sejauh 135 kilometer (km) dari Bayan Lepas, Pulau Pinang ke Kampung Ribu, di sini, semata-mata mahu menyertai kemeriahan nyalaan panjut gergasi bertemakan Masjid Ubudiah yang menjadi ikon kepada Bandar Diraja Kuala Kangsar.
Chiow Yi Min, 35, berkata dia yang ditemani tiga lagi rakan bertolak kira-kira pukul 7 malam dengan menaiki sebuah kereta dan selamat tiba ke kampung berkenaan pada 9 malam tadi.
“Tahun ini kali kedua saya datang ke sini. Cuma, kunjungan kali ini lebih meriah kerana ditemani oleh rakan-rakan yang teruja untuk menyaksikan replika ini dihiasi dengan cahaya daripada ribuan pelita.
“Saya begitu kagum dengan saiz replika yang besar daripada kelaziman. Saya juga amat tertarik dengan keindahan cahaya yang menerangi replika masjid itu,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.
Chiow adalah antara masyarakat pelbagai kaum yang berkumpul di tapak acara tahunan pesta panjut gergasi itu yang mula dinyalakan malam tadi.
Katanya, penganjuran pesta panjut yang diketahui melalui media sosial itu seharusnya dikekalkan kerana ia berperanan dalam memberi pengetahuan kepada kaum bukan Melayu berkenaan adat resam bangsa Melayu.
Perkara itu katanya, secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan dan mengukuhkan perpaduan antara satu sama lain.
“Sebagai contoh, semasa kali pertama datang ke sini, saya ada merakam beberapa keping gambar dan dimuat naik dalam media sosial. Ramai dalam kalangan rakan saya memuji kecantikannya dan teruja untuk datang ke sini,” katanya.
Sementara itu, M. Jayanittah, 22, pula menyaksikan pesta panjut itu buat kali pertama bersama rakan-rakan sekerja yang terdiri dalam kalangan bangsa Melayu.
Anak jati kelahiran Ipoh itu berkata penganjuran aktiviti berkenaan bukan hanya menyeronokkan, malah turut memberi peluang kepada dirinya meluangkan lebih masa bersama rakan-rakan.
“Datang ke sini sebenarnya secara kebetulan dan atas pelawaan rakan-rakan. Cuma, saya seronok dan teruja sebab tak pernah tengok panjut bersaiz besar dan bentuk ‘masjid’ yang dibina juga amat cantik,” katanya.
Muhammad Eizrul Azhar Khairul Anuar, 26, berkata pesta panjut yang dianjurkan itu mengembalikan memori dan nostalgia sewaktu zaman kanak-kanak khususnya ketika persiapan untuk menyambut perayaan Aidilfitri.
“Apabila tengok pelita yang menghiasi replika masjid ini, tiba-tiba memori lama menjelma terutama semasa membantu arwah datuk menyediakan peralatan dan barangan untuk membuat panjut.
“Bagi saya, aktiviti ini harus diteruskan dan ia sedikit sebanyak dapat mengembalikan keceriaan dan keriuhan sesebuah kampung itu terutama ketika persiapan untuk menyambut hari raya,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penggemar Panjut Kampung Ribu Amirruddin Mohd Lazim berkata pembinaan replika Masjid Ubudiah yang menggunakan 1,500 pelita itu bermula pada 4 Mac lepas dan siap sepenuhnya semalam.
Beliau berkata pesta sejak 2016 itu melibatkan penyertaan 30 ahli Persatuan Penggemar Panjut Kampung Ribu yang bersama-sama bergotong-royong membina panjut replika masjid dan reka bentuknya berlainan setiap tahun.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial